4,029 kes Covid-19 dicatatkan hari ini

Kuala lumpur: Malaysia mencatat 4,029 kes baharu jangkitan Covid-19 pada Sabtu angka harian tertinggi sepanjang pandemik itu melanda negara. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 4,021 kes tempatan dan lapan kes import sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 155,095.

“Bagi kes penularan dalam negara, 2,711 kes melibatkan warganegara Malaysia, manakala 1,310 kes adalah bukan warganegara,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, 2,148 kes dilaporkan pulih pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 117,375 kes atau 75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, lapan kematian akibat Covid-19 dilapor pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara adalah sebanyak 594 kes. Kes kematian itu melibatkan empat mangsa di Sabah dan masing-masing satu kes di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang yang menyaksikan kesemua mangsa berumur lingkungan 40 hingga 78 tahun dengan latar belakang berpenyakit.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor masih kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,466 diikuti Johor (719 kes) dan Sabah (449). Beliau turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dikenal pasti pada Sabtu dengan tiga kluster tempat kerja iaitu Kluster Senai Cyber dan Kluster Jalan Sembrong di Johor serta Kluster Jalan Permata di Seremban, Negeri Sembilan.

Tiga kluster lain ialah Kluster Tembok Nanas iaitu pusat tahanan di Pontian, Johor; Kluster Taman Juta di daerah Hilir Perak dan Kluster Kampung Lebu iaitu kluster berkaitan kenduri perkahwinan dan tahlil yang melibatkan daerah Bentong dan Kuantan di Pahang.

“Kluster Senai Cyber mencatatkan 114 kes, Kluster Jalan Permata (61 kes), Kluster Tembok Nanas (41 kes), Kluster Kampung Lebu (21 kes) Kluster Jalan Sembrong (18 kes) dan Kluster Taman Juta (14 kes),” katanya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 641, manakala kluster yang telah tamat berjumlah 356 termasuk lima hari ini iaitu Kluster Impian, Kluster Utama Rini, Kluster Kuala, Kluster Malawati, dan Kluster Tapak Bina Bulatan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah sebanyak 285 dan daripada jumlah itu, 71 kluster melaporkan pertambahan kes pada Sabtu. Dr Noor Hisham juga berkata, terdapat 205 kes positif Covid-19 di Unit Rawatan Rapi dan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama