ABPBH ke-33: Haqiem Rusli dinobatkan Bintang Paling Popular

Kuala Lumpur: Haqiem Rusli dinobatkan sebagai pemenang trofi Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam semalam.

Penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 22 tahun itu memperoleh 22,332,676 undi sepanjang tempoh undian ABPBH ke-33 dibuka sejak awal bulan lalu hingga 8 November lalu.

Terdahulu, Haqiem memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia yang menyaksikan penyanyi itu memecah dominasi Khai Bahar yang sebelum ini tiga tahun berturut-turut memegang anugerah itu.

Haqiem juga mengungguli kategori Lagu Paling Boom Popular dengan single Lembah Kesepian bagi edisi kali ini. Pada ABPBH ke-32 tahun lalu, Haqiem memenangi kategori sama melalui lagu Selamat Tinggal Sayang.

Haqiem yang mula terbabit dalam dunia seni sejak menyertai program realiti, Idola Kecil terbitan TV9 pada 2008 telah menunjukkan peningkatan cemerlang sepanjang tahun lalu melalui karya yang dihasilkan selain menjalinkan hubungan erat dengan pengikut terutama kelab peminat.

“Terima kasih kepada Allah kerana memberi rezeki untuk hari ini. Terima kasih kepada keluarga dan mak abah yang sedang menonton sekarang ini. Saya harap mak abah bangga dengan saya. Terima kasih kepada Berita Harian, TV3, rakan-rakan dan Qiemillo yang mengundi saya”, ucapnya.

“Saya tak pernah menjangkakan kemenangan ini. In sha Allah, saya akan menggunakan anugerah ini dengan sebaik-baiknya. Jujurnya, ia sangat besar bagi saya. Anugerah ini tak pernah saya jangka, saya tak tahu nak cakap. Saya sangat gembira dengan anugerah ini”, katanya lagi.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk