Agong perkenan darurat hingga 1 Ogos

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.
Menurut statistik, lima belas hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.
Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.-Astroawani

Malay News
National Desk