Air terjun Tanjung Batu masih terpelihara

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Ipoh: Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera di Segari, Beruas masih terpelihara dan langsung tidak terjejas, kerana ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di dalam Hutan Simpan Segari Melintang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, gambar tular menunjukkan air terjun itu terjejas, sebenarnya berpunca daripada alur air bermusim yang muncul terutama ketika hujan lebat.

Katanya, alur air itu terbentuk hasil daripada satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 ( Blok E), Hutan Simpan Segari Melintang.

“Air Terjun Tanjung Batu, Teluk Sera sebenarnya masih terpelihara, langsung tidak terjejas dan berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusahasil pengeluaran batu kuari iaitu berjarak satu kilometer dari tapak pengkuarian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati operator kuari melakukan pelanggaran syarat-syarat Impak Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan, termasuk tidak melantik pegawai alam sekitar (EO) bertauliah sehingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan (sediment) di tapak projek seterusnya memberi kesan kepada alur air.

Menurutnya, kawasan berkenaan mendapat lesen kecil untuk pengeluaran batu-batan (pengkuarian) pada 2014 serta kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) pada 2 Oktober 2017.

Selain itu, katanya Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan diluluskan pada 25 Oktober 2018 seterusnya Surat Kelulusan Skim Kuari (SKSK) pada 1 Februari 2019.

Menurut Mohd Akmal, disebabkan terdapat pelanggaran syarat-syarat EIA, perintah larangan serta berhenti kerja dikeluarkan pada 20 Januari lalu dan pelesen diarah untuk melakukan tindakan pembaikan serta pemulihan di alur air bermusim terbabit.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula semalam, dan dijangka akan selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang, jika melihat terdapat jentera bergerak di sekitar kuari kerana ia adalah kerja kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang berjalan.

Sumber: Bernama

Malay News
Social Media Updates