Aplikasi MySejahtera kesan hampir 10,000 kes positif Covid-19

Putrajaya – Aplikasi telefon pintar My Sejahtera yang dilancarkan Kementerian kesihatan (KKM) 20 April lalu membantu mengesan sebanyak 9,167 kes positif COVID-19 sehingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan kes itu dilakukan melalui penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna yang menilai risiko mengikut kriteria KKM dan kaedah kedua membabitkan pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui pengkalan data MySejahtera.
Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 1,561 kes (3.1 – 6.5 peratus) berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri, manakala sebanyak 7,606 kes COVID-19 (15.1 – 37.8 peratus) dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak MySejahtera.
Menurutnya, data pengesanan kontak dikumpul melalui ‘MySejahtera Check-In’ apabila rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.
“Bagi tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan. Data ini akan dianalisis bersama-sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.
“Secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2 – 44.3 peratus dan ia berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

ZA137 Malay News

National Desk