Friday, December 04, 2020

AS Monaco bangkit jinakkan PSG

Paris: Cesc Fabregas menyempurnakan kebangkitan AS Monaco dengan gol kemenangan pada lewat permainan menerusi sepakan penalti untuk mengejutkan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) 3-2 dalam saingan Ligue 1 hari ini.

Terdahulu, Kylian Mbappe meledak dua gol pada separuh masa pertama termasuk menyempurnakan sepakan penalti menentang bekas kelabnya itu sekali gus melebarkan jaringannya kepada 99 gol untuk PSG.

Ketika PSG dilihat selesa untuk mencatat kemenangan liga kesembilan berturut-turut, Monaco bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol Kevin Volland dan penalti Fabregas bagi memastikan kemenangan Monaco.

PSG kekal sebagai pendahulu Ligue 1m namun kekalahan itu memberi satu tamparan besar untuk skuad kendalian Thomas Tuchel yang akan berdepan RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara bertemu pada minggu depan.

“Saya lebih terkejut berbanding berasa marah”, kata Tuchel yang turut kecewa apabila jaringan Mbappe dan Moise pada separuh masa pertama dibatalkan.

“Saya menyaksikan dua babak yang berbeza. Pada separuh masa pertama kami menguasai permainan dan kemudian babak kedua pula sangat berbeza. Saya hanya boleh katakan kami bertanggungjawab atas kekalahan ini”, katanya lagi.

Monaco bawah bimbingan Niko Kovac melonjak ke tangga kedua liga, empat mata ketinggalan di belakang PSG.

“Jika anda dapat bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatatkan kemenangan 3-2 sudah pasti ia sangat istimewa. Tetapi saya tidak mahu terlalu meraikannya”, kata Kovac.

Akmal Hakim
Sports Desk