ATM siap siaga hadapi serangan siber

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkeupayaan menangani serangan siber yang dilakukan ke atas rangkaian data milik pasukan itu.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengakui terdapat pelbagai cubaan dilakukan pihak luar untuk menggodam data ATM.
Namun, katanya, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM mempunyai keupayaan dan sentiasa bersedia menghadapi ancaman berkenaan.

“Di mana-mana tempat sekali pun pusat data pada masa kini menjadi sasaran untuk ancaman.

“Kita sedar teknologi siber sentiasa bergerak ke hadapan dari segi kemajuannya dan penggodam melakukan pelbagai cara (untuk menggodam).

“Justeru, ATM melakukan beberapa pembaharuan dan menambah baik teknologi sedia ada bagi meningkatkan tahap keselamatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Monumen dan Peletakan Plaka OP 78 di Maktab Tentera Diraja di sini, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, beliau dilaporkan berkata, berlaku serangan siber terhadap rangkaian data ATM yang dikesan BSEP serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC).

Bagaimanapun, serangan itu hanya membabitkan segmen tertentu yang diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, dan tidak menjejaskan operasi portal sebenar.

Sementara itu, ditanya mengenai lokasi dan aset dimiliki ATM yang boleh membantu promosi pelancongan, Affendi berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Persatuan Pelancongan Bersejarah Ketenteraan pada tahun lalu.

Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan namun terhenti berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Mungkin selepas ini, kita akan mula bekerjasama dengan persatuan itu untuk mempamerkan dan menunjukkan sejarah ketenteraan sebagai promosi pelancongan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Malay News
Technology Desk