Baju sama, Sugu minta tutup bahu

Kuala Lumpur: Beberapa hari lalu, kecoh mengenai kontroversi melibatkan seorang pelakon berhijab iaitu Natasha Liana Hudson atau Natasha Hudson, yang memakai gaun putih menampakkan bahagian bahunya.
Rata-rata warganet mengecam pelakon berusia 38 tahun itu dan melabel dirinya merosakkan imej wanita berhijab. Malah pereka busana putih tersebut, Rizman Ruzaini turut terkejut dengan tindakan Natasha itu.

Semalam, Rizman Ruzaini memuat naik sekeping gambar di laman Instagram milik mereka. Dalam gambar itu, jelas kelihatan seorang wanita jelita yang tampil elegan mengenakan gaun sama seperti Natasha sebelum ini.
Namun, apa yang menariknya adalah model dalam gambar berkenaan merupakan personaliti masakan YouTube, Sugu Pavithra.
Memakai gaun terdedah bahu sama dengan Natasha Hudson, Rizman Ruzaini berkongsi bahawa Pavithra pernah meminta agar bahagian terdedah itu ditutup ketika sesi fotografi untuk sebuah majalah tahun lalu.
Tanbah Rizman Ruzaini, penampilan diminta oleh Pavithra dipersetujui oleh penata gaya yang berada di set penggambaran dan semua pihak.
Walaupun bukan seorang Muslim, wanita berusia 28 tahun itu memilih untuk menghayati dan menghormati adat dan budaya leluhur bangsanya.
Menjengah ke ruangan komen, majoriti warganet kagum dengan tindakan Pavithra dan bersetuju dengan perkongsian Rizman Ruzaini berkenaan.
Terdahulu, Rizman Ruzaini tampil menyatakan kekesalan dengan tindakan pelakon tersebut dan menganggap ia mencalarkan reputasi dan imej yang dibina mereka sepanjang 15 tahun dalam industri fesyen.
Kenyataan mereka ditepis oleh penganjur acara yang menasihati agar pereka fesyen tidak perlu melatah dan menghentam pembeli pakaian mereka.
Natasha juga tampil menjelaskan pendiriannya yang menganggap kenyataan Rizman Ruzaini berbaur peribadi dan meminta pereka fesyen itu membuat permohonan maaf.

Sumber: Ohmymedia

Malay News
Social Media Updates