Banjir luar biasa, mangsa banjir di Terengganu meningkat sehingga 11 malam tadi

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu luar biasa apabila lebih banyak lokasi di negeri ini dinaiki air dan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 11 malam tadi 1,817 mangsa daripada 503 keluarga ditempatkan di 49 PPS berbanding hanya 781 mangsa daripada 218 keluarga di 17 PPS jam 4 petang tadi.

“Boleh dikatakan hampir semua daerah menunjukkan peningkatan mangsa yang dipindahkan kecuali Kemaman.

“Manakala Marang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 681 mangsa daripada 181 keluarga ditempatkan di 7 PPS. Ia meningkat berbanding jam 4 petang tadi yang melibatkan 298 mangsa daripada 81 keluarga di tiga PPS,”katanya.

Daerah Setiu yang sebelum ini hanya membuka 1 PPS bagi menempatkan empat keluarga membabitkan 16 mangsa kini bertambah kepada 16 PPS bagi menempatkan 284 mangsa daripada 77 keluarga.

Situasi di Kuala Terengganu pula melibatkan 226 mangsa daripada 65 keluarga ditempatkan di 4PPS dan 200 mangsa daripada 51 keluarga ditempatkan di 6 PPS di Kuala Nerus.

Che Adam berkata, Besut menjadi daerah terbaru terjejas banjir membuka 9 PPS untuk penempatan 265 mangsa daripada 79 keluarga, manakala seramai 14 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di satu PPS di Hulu Terengganu.

Katanya, jumlah mangsa di Kemaman menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 87 mangsa daripada 28 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 94 mangsa daripada 30 keluarga petang tadi.

 

ZA137 Malay News

National Desk