COVID-19: Jumlah pinjaman perlu disusun, dijadualkan semula meningkat – Bank Negara

Malay News: Permodalan sektor perbankan kekal kukuh dan berdaya tahan terhadap potensi tekanan akibat kejutan kewangan dan makroekonomi yang teruk susulan penularan COVID-19 menimbulkan cabaran bagi bank untuk beroperasi pada 2020.

Menerusi laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ia menjangkakan pertumbuhan kredit yang lebih perlahan berbanding dengan angka pada 2019, malah jangkaan ini amat bergantung kepada tempoh pandemik COVID-19.

“Meskipun impak COVID-19 akan menjejaskan ekonomi dengan ketara dalam jangka pendek, bank menghadapi tempoh ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh penampan modal dan mudah tunai yang teguh.

“Pengurusan risiko kredit yang berhemat dan sumber pendapatan yang pelbagai akan menyumbang kepada keuntungan. Tambahan pula, strategi pendigitalan bank dijangka terus memacu operasi untuk menjadi lebih cekap, sekali gus menyokong keuntungan jangka panjang dan daya maju secara keseluruhan,” kata laporan itu.

Berikutan tercetusnya pandemik COVlD-19, Bank Negara menjangkakan bahagian pinjaman yang distrukturkan dan dijadualkan semula akan meningkat, terutamanya bagi peminjam dalam segmen perniagaan yang paling terjejas akibat pandemik berkenaan.

la dijangka meningkatkan peruntukan dalam jangka pendek, bagaimanapun, bank-bank berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap impak yang mungkin memberikan kesan ke atas keuntungan susulan peruntukan berhemat untuk mengukuhkan penampan sejak sekian lama, katanya.

Bank Negara berkata, jumlah peruntukan, termasuk rizab pengawalseliaan yang dipegang oleh bank untuk kerugian kredit, adalah sebanyak RM33.9 bilion atau 126.4 peratus daripada pinjaman terjejas pada akhir 2019.

“Sebagai tindak balas kepada pandemik COVlD-19, Bank Negara juga telah mengumumkan siri langkah pengawalseliaan bagi menyokong usaha bank-bank membantu isi rumah dan perniagaan yang terjejas, di mana bank-bank dibenarkan menggunakan penampan modal dan penampan mudah tunai mereka bagi menyokong kegiatan pemberian pinjaman.

“Semua penampan ini, yang terkumpul sejak sekian lama, bersama-sama pengurusan mudah tunai oleh bank, telah meletakkan bank pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong ekonomi dalam keadaan yang serba mencabar ini,” katanya.

Keuntungan bank yang mampan telah disokong oleh amalan pengunderaitan dan pengurusan risiko yang mantap.

“Faktor-faktor ini juga akan membantu bank menambah semula penampan mereka secara beransur-ansur apabila tempoh fleksibiliti ini tamat,” katanya.

Bank pusat berkata, pada separuh kedua 2019, keuntungan sistem perbankan terus melebihi anggaran kos modal purata lantas mengukuhkan lagi kedudukan kesolvenan bank, sementara keuntungan sebelum cukai bank mencatatkan pertumbuhan tahunan 15.4 peratus, disokong oleh peningkatan pendapatan bukan faedah yang kukuh.

Kegiatan pengambilan untung oleh bank dalam pasaran bon kerajaan berikutan penurunan kadar hasil pada separuh kedua 2019 telah menjana pendapatan perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi, katanya.

Pertumbuhan pendapatan fi dan komisen adalah sejajar dengan langkah bank baru-baru ini untuk mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi jualan silang produk pengurusan kekayaan dan insurans. – Bernama