Diserang buaya ketika di luar rumah ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Debak: Seorang wanita berhadapan detik mencemaskan apabila diserang buaya ketika mengemas perkakas di luar dapur rumahnya di Kampung Babu Hilir, malam Khamis.

Ketua Kampung Babu Hilir Juki Jimbun berkata insiden tersebut berlaku ke atas seorang penduduk kampungnya, Zabidah Seruji.

“Difahamkan ketika kejadian, Zabidah sedang mengemas barang di bahagian belakang rumahnya sekitar pukul 8:00 malam, sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir. Ketika berada di gigi tangga, secara tiba-tiba seekor buaya menyambar sebelah kakinya.

“Terkejut dengan serangan, mangsa berusaha melepaskan diri daripada buaya tersebut dan menyebabkan kaki yang disambar mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Menurut Juki, ketika kejadian air di kawasan rumah mangsa yang terletak berhampiran dengan Sungai Rimbas, mulai pasang besar.

Setelah berjaya melepaskan diri daripada serangan tersebut, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Debak.

“Kesan daripada serangan tersebut, mangsa menerima 19 jahitan pada luka serangan dan kita dimaklumkan bahawa mangsa dibenarkan berehat di rumahnya pada masa ini.

“Berikutan serangan tersebut juga, kita dimaklumkan bahawa pasukan SWAT SFC dari Betong telah dikerahkan ke lokasi ini bagi memantau situasi berkaitan dengan insiden tersebut,” ujarnya.

Sumber: Utusan Borneo Online