Gorila dijangkiti Covid-19 di Zoo San Diego

Los Angeles: Beberapa gorila di Zoo San Diego merupakan antara haiwan yang dijangkiti dengan koronavirus.

Kakitangan zoo berkenaan memulakan proses menguji sampel najis gorila melalui Sistem Makmal Kesihatan Haiwan dan Keselamatan Makanan California apabila dua ekor gorila mula batuk pada 6 Januari lalu.

Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) mengesahkan keputusan positif semalam.

Hasil ujian mengesahkan adanya SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19.

Gorila-gorila berkenaan mengalami kesesakan nafas dan batuk dan kini dikuarantinkan, kata Pengarah Eksekutif Taman Safari Zoo San Diego, Lisa Peterson.

Gorila terbabit disyaki dijangkiti virus itu daripada kakitangan zoo yang mengalami Covid-19 tanpa gejala walaupun petugas-petugas perlu mengikuti semua langkah berjaga-jaga yang disyorkan termasuk protokol keselamatan Covid-19 daripada pihak kesihatan awam serta memakai alat pelindung diri (PPE) ketika berada dekat gorila.

Taman Safari Zoo San Diego merupakan tarikan utama pelancong di daerah itu telah ditutup untuk umum sejak 6 Disember lalu di bawah perintah tinggal di rumah sebagai usaha membendung lonjakan Covid-19.

Sumber: MalaysiaGazette