Hebak anak muda kampong

Malay News: Hebak anak muda kampong! Bijok sampai orang Jepung buleh geleng pala’ (Hebat anak kampung! Bijak hingga orang Jepun mungkin tidak percaya).

Ia antara pujian oleh netizen dalam dialek Terengganu untuk menggambarkan kekaguman terhadap kreativiti dua anak muda Kampung Banggol, Setiu, hingga dua buah motosikal bukan sahaja boleh bergerak di atas jalan raya tetapi juga di dalam air yang dalam.

Hasil gabungan kesungguhan dan keberanian Ikram Shahidi Mat Kail, 24, dan adiknya, Muhammad Zakaria, 22, turut membangkitkan keterujaan sesiapa sahaja yang melihatnya termasuk Bernama yang berkesempatan melihat mereka meredah banjir, lewat petang semalam.


Motosikal jenis Modenas Kriss 110 dan Honda C70 itu bukan sahaja masih berfungsi apabila sudah tenggelam sepenuhnya di dalam air, malah mampu bergerak laju meskipun air sudah pun berada pada paras leher penunggang.

Ikram Shahidi berkata, kreativiti itu bermula dengan perasaan ingin mencuba namun tidak menyangka ia membuahkan hasil dan lebih menarik, mereka hanya mengambil masa dua jam untuk melakukan pelbagai proses pengubahsuaian.

Bagi menyempurnakan misi meredah air, dia mengubah suai botol plastik bagi menggantikan tangki minyak, karburetor dan saluran udara ke karburetor, hujung paip ekzos yang kesemuanya diletakkan dengan kedudukan lebih tinggi daripada motosikal biasa bagi membolehkan motosikal itu bergerak dalam paras air yang tinggi.

“Sebenarnya, tahun lepas saya dah cuba buat tapi tak berjaya kerana motor enjin mati dalam air. Namun, saya cuba lagi baru-baru ini dan hasil cantuman pelbagai idea kawan-kawan motosikal itu berjaya disiapkan dalam tempoh dua jam.

Kami dua beradik meronda sekitar kampung pada waktu petang kelmarin, namun tak sangka pula rakaman video yang diambil beberapa rakan itu menjadi tular dan ramai nyatakan kekaguman mereka dengan kreativiti kami,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya dekat Kampung Banggol, lewat petang semalam.

Malay News Desk
Photo: Bernama