Herd sedia serap aura EPL bersama TFC

Kuala Terengganu: ‘Aura’ Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal diserapkan dalam pasukan Terengganu FC (TFC) selepas bekas pemain kelab Aston Villa, Christopher Herd berazam mahu berkongsi pengalaman dengan rakan sepasukannya.

Bekas pelatih Akademi Bolasepak Aston Villa itu yang menjalani latihan bersama pasukan sejak awal bulan ini pasti ditagih pemain tempatan untuk meningkatkan prestasi masing-masing bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pengalaman Herd, 32, beraksi selama lima musim bersama Aston Villa sehingga 2015 selain dua lagi bekas kelab EPL iaitu Bolton Wanderers dan Wigan Athletic sudah cukup menggambarkan keupayaan dimiliki pemain itu.

“Saya lihat TFC boleh menjadi antara pencabar utama kejuaraan jika dapat buat persiapan terbaik. Gabungan import yang datang dari liga dan budaya bola sepak berbeza bukan sahaja EPL, malah dari serata benua seperti Afrika dan Asia mampu menyuntik aura positif pasukan. “Saya lihat pasukan ini cukup mantap dengan gabungan pemain muda serta tonggak import berpengalaman yang berusia 30 hingga 32 tahun.

“Sebagai pemain berpengalaman yang pernah beraksi dalam saingan EPL, saya sedia membimbing pemain TFC,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, dekat sini.

Bekas pemain kelab Sheikh Russel dalam Liga Bangladesh musim lalu itu selain pernah beraksi di Liga Thailand bersama kelab Buriram United juga tekad membawa pasukan itu menghuni di tangga terbaik Liga Super musim ini.

Herd yang bakal bergandingan dengan seorang lagi bintang import berdarah kacukan Filipina – Sepanyol, Carli De Murga di posisi pertahanan tengah juga berazam untuk membawa pasukan itu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC musim ini. Bagaimanapun Herd akui perlu mempunyai masa untuk membentuk keserasian dan gandingan mantap bersama pemain tempatan dan import.-Bharian

Malay News
Sports Desk