Ilham warna bumi Maghribi

Malay News: jenama hijab terkenal, Ariani tampil memperkenalkan koleksi tudung terbaharunya yang bertemakan keindahan semarak warna bumi Maghribi.

Tema itu memberikan kelainan gaya barisan tudung siap, selendang atau telekung baharu keluaran Ariani yang menjadi pelengkap busana Aidilfitri, sekali gus menyerlahkan keanggunan dan cita rasa feminin.

Cetusan fesyen baharu itu dipertontonkan pada pertunjukan fesyen di Hotel Mandarin Oriental menerusi pelancaran koleksi Ariani Lebaran 2015 yang menyajikan rekaan bercirikan eksklusif, kesopanan dan kontemporari.

Selain pertunjukan fesyen, galeri skaf dan selendang milik Jakel Trading Sdn Bhd juga melancarkan laman sesawangnya, www.arianionline.com yang disempurnakan pelancarannya oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Yang turut memeriahkan majlis pelancaran ialah Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff dan isteri Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Pengarah Pemasaran Pengeluar Tekstil Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip, berkata komitmen mereka adalah untuk memberikan kepuasan kepada semua golongan.

Pada masa sama, pemilihan duta Ariani, Nurul Syuhada Nurul Ain dan Bella Dally bertujuan mengubah persepsi orang yang menyangka Galeri Ariani hanya untuk golongan tertentu.

“Kita mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Justeru, kita memberikan tumpuan terhadap kombinasi warna, cetakan dan motif, sekali gus memberikan lebih kepuasan kepada keseluruhan pelanggan,” katanya.

Farah Haryani berkata, koleksi skaf dan selendang, termasuk telekung sedia dipakai menyerlahkan rekaan unik, moden, canggih dan anggun yang merangkumi warna lembut dan tertumpu pada warna bumi.

Justeru, Ariani mengilhamkan rekaan keindahan semarak warna bumi Maghribi sebagai tema kepada koleksi sempena Aidilfitri ini, sekali gus menyerlahkan cita rasa fesyen tersendiri.

“Sempena lebaran ini, kita tampilkan fabrik berkualiti tinggi dengan padanan renda ringkas bersama taburan kristal Swarovski tanpa menjejaskan nilai eksklusif kepada pelanggan.

Koleksi terbaharu ini menampilkan corak polos, ringkas dan motif cetakan menggunakan warna pastel menjadikan fabrik kali ini menepati cita rasa selaras fesyen semasa,” katanya.

Mengutamakan pesona dan nilai kontemporari menjadikan Ariani Lebaran 2015 ini koleksi wajib Muslimah, yang sentiasa mahu kelihatan cantik, menawan dan bercita rasa moden.

Melihat kepada warna fabrik, kebanyakan koleksi terdiri daripada vibrant dan pastel yang memberikan padanan warna serasi dan menyerlahkan penampilan diri dengan lebih 40 pilihan hijab koleksi baharu.

Menyediakan pilihan hijab meliputi selendang, tudung segera, telekung yang boleh disuai padan dengan koleksi sedia dipakai keluaran Ariani.

Mengenai laman sesawang yang diperkenalkan Ariani, Farah Haryani berkata, ia dilihat mampu melonjakkan jualan berikutan ia boleh diperluaskan untuk pelanggan di luar negara.

“Mengikuti aliran sekarang, ramai lebih gemar membeli secara dalam talian. Oleh itu, kita yakin laman sesawang ini memudahkan pelanggan mengikuti perkembangan fesyen atau koleksi baharu.

“Ariani mempunyai pembeli dari luar negara seperti Australia, Brunei dan Indonesia. Kami yakin, pembaharuan ini lebih memudahkan pelanggan,” katanya.

Lifestyle Desk