Jalan Seribu Tahun ditutup

Jalan Seribu Tahun ditutup

Kuala Langat: Jalan Seribu Tahun, Bandar Mahkota di sini ditutup selepas dijadikan jalan tikus pengguna jalan raya bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jalan itu menjadi pilihan pengguna untuk menuju ke taman perumahan Bandar Mahkota dari Jalan Utama Banting-Dengkil tanpa perlu melalui SJR di Jalan Banting-Dengkil. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tindakan penutupan jalan itu selepas mengambil kira situasi peningkatan Covid-19 khususnya di Mukim Tanjung 12 (2).

Katanya, ini termasuk kawasan Bukit Changgang, Labohan Dagang serta Olak Lempit. “Laluan tikus itu dikesan digunakan orang ramai untuk mengelak SJR khususnya mereka yang berulang-alik dari Bandar Mahkota, Olak Lempit serta Banting.

“Menerusi penutupan jalan ini, penduduk Taman Bandar Mahkota boleh menggunakan jalan utama keluar masuk ke Jalan Banting-Dengkil-KLIA,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Kata beliau, pihaknya mengadakan lima SJR di jalan keluar masuk daerah ini selaras dengan arahan PKP 2.0 bagi meminimumkan pergerakan kecuali atas keperluan tertentu yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam perkembangan berlainan, Azizan memberitahu, empat pasukan pematuhan SOP ditubuhkan bagi memantau kawasan tumpuan umum seperti restoran, tempat rekreasi dan pusat beli-belah. Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk terus kekal berada di rumah kecuali keperluan mendesak. –Kosmo

Malay News
National Desk