Jalinan kerjasama KUFC dan Yakult

Kota Bharu: Jalinan kerjasama bersama dengan syarikat minuman pribiotik Yakult (M) Sdn. Bhd telah diumumkan oleh Kelab Bola Sepak Kelantan United FC (KUFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Kerjasama tersebut membabitkan penajaan serta penyertaan dua pemain asal Jepun ke dalam pasukan KUFC termasuklah seorang legenda yang pernah beraksi dengan sebuah kelab di Liga Jepun.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata bahawa beliau amat menghargai kerjasama dengan Yakult kerana ia membuktikan mereka mempunyai potensi untuk mengukir kejayaan.

“Saya mengharapkan jalinan ini berterusan dalam masa yang lama kerana kita yakin Yakult turut mempunyai impian untuk terus memajukan bola sepak Malaysia terutamanya di negeri Kelantan”, katanya.

“Ucapan penghargaan dari Kelantan United FC kepada pihak Yakult Malaysia terutamanya Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada setelah mereka bersetuju membekalkan kita dengan dua pemain dari Jepun dan salah seorang darinya berstatus legenda di sana”, katanya menerusi siaran media hari ini.

Selain Yakult, menurutnya pihak mereka turut akan mengadakan kerjasama strategik bersama sebuah lagi syarikat dari Jepun dalam usaha KUFC mengambil input teknologi sukan bola sepak disana seterusnya menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab dari negara berkenaan.

“Syarikat itu akan kita umumkan nanti bersama Yakult dimana mereka akan menjadi sebahagian dari penajaan Kelantan United Football Club di Liga-M musim 2021”, ujarnya lagi.

Sumber: Kelantan Updates

Akmal Hakim
Sports Desk