Sunday, January 24, 2021

Kerjasama lonjak teknologi aeroangkasa Asia Tenggara

Jalan tanpa nama di tengah-tengah ladang sawit itu tidak pernah menjadi tumpuan orang ramai.

Namun, pada hari itu, sekumpulan kakitangan daripada MTC Engineering Sdn. Bhd., Equatorial Space Systems (ESS) danUniversiti Teknologi Mara (UiTM) ‘berkampung’ di jalan Felcra Changkat Lada, Perak.

Mereka yang merupakan kakitangan ESS kelihatan asyik ‘menggodek’ muncung roket sepanjang 2.4 meter itu. Mengelilingi mereka ialah kru dan kakitangan daripada MTC Engineering. Selama dua hari, mereka memasang platform setinggi 10 meter untuk pelancaran sebuah roket hibrid.

Bahang yang terasa bukan sahaja dek panas matahari yang menikam, tetapi kerana ini merupakan kali pertama prototaip roket dari Singapura itu akan dilancarkan.

Mereka harus menunggu beberapa jam bagi mendapatkan tekanan cecair pengoksida yang mencukupi untuk tujahan roket berkenaan.

Tepat pukul 11.30 pagi, dengan kiraan lima, asap hitam mula keluar dari nozel roket itu. Selang beberapa minit, deruan enjin roket membingitkan ruang angkasa Changkat Lada.

Roket hibrid itu terbang meninggalkan permukaan bumi dan terus ke angkasa sehingga kira-kira 1 kilometer tinggi. Ia tidak lagi kelihatan menerusi mata kasar setelah beberapa ketika.

Pelancaran prototaip roket hibrid itu merupakan kerjasama antara MTC Engineering yang merupakan syarikat tempatan dan syarikat ESS dari negara Seberang Tambak, serta UiTM melalui makmal UiTM-MTC HEMREL selaku rakan kongsi yang menyediakan peralatan dan logistik. Pihak Spacein Sdn. Bhd. pula membantu mengurus lokasi dan permit pelancaran.

Bercakap kepada media, Pengarah Besar MTC Engineering, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Juani Sujana berkata, kerjasama tersebut membuka pintu kepada syarikat tempatan itu untuk terus memajukan teknologi roket buatan Malaysia.

“Pihak MTC bekerjasama dari segi membantu memasang platform pelancaran. Kami sudahpun melancarkan roket buatan kami sendiri, jadi kami mempunyai pengalaman dalam memasang platform.

“Pihak ESS membawa roket hibrid yang mempunyai ‘resipi rahsia’ mereka yang mana kami boleh melihat bagaimana penghasilan roket serta cara mereka bekerja.

“Dengan cara ini, pihak Singapura menyediakan teknologi roket, manakala pihak Malaysia menyediakan kawalan misi dan penyeliaan aeroangkasa yang mana kita tak mampu untuk melakukannya bersendirian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran roket itu baru-baru ini.

MTC Engineering melancarkan 11 roket daripada tiga jenis berlainan pada bulan September lalu. Ia merupakan julung-julung kali syarikat itu melancarkan roket buatannya sendiri.

Syarikat itu menghasilkan roket untuk kegunaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi tujuan pendidikan, roket latihan untuk pihak tentera dan ‘roket sounding’ untuk kajian cuaca.

Menurut beliau, pihaknya ada meminta dana untuk pembangunan roket daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), namun tidak diberikan atas alasan ia berkaitan dengan ketenteraan.

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ESS, Szymon Qwozdz berkata, kerjasama itu bakal melonjakkan potensi aeroangkasa di negara Asia Tenggara.

“Roket adalah instrumen asas untuk menghantar satelit ke orbit. Teknologi kami membuatkan roket lebih selamat dan murah berbanding sistem roket kontemporari di pasaran.

“Saya tak nampak alasan untuk tidak menjadikan Asia Tenggara sebagai pusat bisnes pelancaran roket,” katanya.

Sumber : Kosmo

Malay News
Technology Desk