Sunday, November 29, 2020

KPDNHEP rampas barang tiruan RM4,549,122 sehingga Oktober

Kuala Lumpur – Barangan tiruan bernilai RM4,549,122 telah dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula awal tahun sehingga Oktober lalu yang melibatkan 257 kes.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, rampasan terbaru semalam melibatkan 1,815 kotak kosong dan 80 kotak berisi sarung tangan tiruan bernilai RM 37,075 dalam operasi di sebuah gudang di Taman Perindustrian Bukit Serdang di Seri Kembangan, Selangor.
Menurutnya, ketika serbuan pekerja-pekerja dalam premis sedang membungkus semula barangan tersebut dan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mengaku pemilik premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan.
“Modus operandi mereka membeli sarung tangan getah dari luar negara sebelum dibungkus semula menggunakan jenama dagangan berdaftar.
“Perbezaan sarung tangan getah tiruan dengan asli adalah daripada segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Iskandar berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

 

ZA137 Malay News

National Desk