Mael Totey The Movie Meraih 6.4 Juta Tetapi Hasil Karya Dikritik Tidak Capai ‘Standard’

Kelantan – Nama anak muda kelahiran Kelantan, Syahmi Sazli baru-baru ini menjadi buah mulut selepas pengumuman tentang filem pertamanya “Mael Totey The Movie” (MTTM) meraih sebanyak RM 6.4 Juta selepas tayangan yang bermula sejak 22 Oktober lalu menerusi saluran TV Astro First.

Pengumuman tersebut disampaikan secara siaran langsung di saluran Astro Ria pada malam ahad yang lalu, oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Musa dalam rancangan hiburan Gegar Vaganza. Dalam pengumuman yang sama, dikatakan filem Mael Totey The Movie mengatasi kedudukan filem Polis Evo di tempat kedua dan Hantu Kak Limah di tempat ketiga dalam carta filem terlaris Astro First. Ini merupakan satu pencapaian dan kebanggaan buat pengarah muda tersebut. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan ramai yang tidak putus-putus menerusi sebuah posting Instagram milik beliau.

Walau bagaimana pun, filem tersebut tidak terlepas dari mendapat kritikan penggiat seni industri perfileman. Pengarah dan penerbit filem, Ellie Suriati menerusi temubual oleh mStar berkata, walaupun filem tersebut mempunyai pengikut yang ramai serta meraih jumlah kutipan yang tinggi, namun ia tidak wajar dijadikan penanda aras bagi sesebuah karya kreatif yang sempurna, terutama sekali dari segi teknikal dan nilai estetika filem tersebut. Namun seiring dengan kritikan, Ellie juga mengucapkan tahniah kepada pengarah dan krew produksi tersebut atas kejayaan ini.

Dalam temubual lain menerusi panggilan video oleh mStar Bersama Syahmi Sazli, apabila bertanya tentang kritikan Ellie Suriati, beliau memberi jawapan balas dengan tenang dengan mengatakan bahawa beliau menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka dan bersetuju dengan pendapat serta mengakui bahawa hasil karya beliau memang tidak mencapai standard teknikal yang sempurna kerana produksinya hanya menggunakan alatan-alatan penggambaran sedia ada sahaja. Namun beliau turut meluahkan tujuan utama pembikan filem tersebut adalah untuk memberi hiburan semata-mata kepada pengikut-pengikutnya, bukanlah untuk memenangi anugerah atau menyertai festival berkaitan industri perfileman. Selain itu, beliau juga berkata akan memperbaiki mutu filem untuk penghasilan karya selepas ini.

 

DA1079/Malay News

Glamor Desk