Monday, June 01, 2020
Facebook Twitter LinkedIn Google+

Manfaat Ramadan tahun ini

IBN Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif menukilkan: “Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat menemui Ramadan.” Pernyataan ini cukup jelas menggambarkan keterujaan sahabat Rasulullah SAW untuk berada dalam Ramadan dan melaksanakan tuntutannya.

Tidak dapat dinafikan Ramadan adalah bulan ibadah bagi umat Islam. Hal ini tidaklah bermakna umat Islam tidak melakukan ibadah pada bulan lain, namun Allah SWT menghadirkan Ramadan dengan amal ibadah yang cukup banyak serta ganjaran yang berlipat kali ganda daripada biasa.

Pada Ramadan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa sepertimana diperintahkan juga kepada umat terdahulu.

Ini bermakna ibadah puasa satu ibadah yang kekal difardukan Allah SWT kepada manusia sejak berzaman.

Memang betul ada banyak ibadah puasa sunat yang boleh dilakukan umat Islam sepanjang tahun.

Walau bagaimanapun, kehadiran Ramadan dengan kewajipan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam menggambarkan kepentingannya yang luar biasa.

Apatah lagi apabila Allah SWT menyatakan puasa pada Ramadan mempunyai perkaitan rapat dengan ketakwaan dalam diri setiap Muslim.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalian diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kalian, supaya kalian bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Maka untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT, seseorang Muslim tidak boleh mengetepikan ibadah puasa Ramadan sama sekali.

Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, takwa boleh diertikan sebagai takut kepada Allah SWT, beramal dengan wahyu yang diturunkan, reda dengan sesuatu yang sedikit dan bersiap sedia untuk menemui hari kesudahan.

Takrifan ini cukup jelas dapat dilihat dalam ibadah puasa kerana orang berpuasa menzahirkan ketaatan kepada Allah, melaksanakannya berdasarkan ketetapan wahyu, reda dengan ketetapan menikmati rezeki Allah pada kadar yang terhad kerana tegahan makan dan minum pada waktu siang serta memperbanyakkan ibadah fardu dan sunat sebagai bekalan menuju akhirat.

Sememangnya ibadah puasa yang dilakukan dalam Ramadan memenuhi cakupan takwa sekiranya seseorang Muslim benar-benar menunaikannya dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT.

Justeru, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya mengenai puasa yang tidak diterima Allah SWT. Peringatan ini perlu disematkan dalam minda setiap orang Islam agar ibadah puasa yang dilakukan nanti tidak sia-sia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa, (tetapi) tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hakikatnya tidak semua ibadah puasa yang dilakukan orang Islam akan diterima oleh Allah SWT. Hanya puasa yang menepati piawaian yang ditetapkan akan diterima oleh-Nya.

Oleh itu, waktu yang berbaki pada ketika ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkemaskan ilmu mengenai puasa dan ibadah lain sebelum ketibaan Ramadan.

Setiap Muslim perlu menekuni ilmu mengenai puasa menerusi bacaan kitab ataupun kuliah agama di televisyen, radio atau secara dalam talian yang membicarakan perihal puasa Ramadan.

Memang benar ibadah puasa ditunaikan saban tahun namun marilah kita berazam agar puasa Ramadan tahun ini adalah puasa yang terbaik kualitinya berbanding pada tahun yang lalu.

Ada orang yang berpuasa, tetapi tidak bangun sahur kerana malas. Begitu juga ada yang melengah-lengahkan berbuka puasa kerana beranggapan semakin panjang tempoh tidak makan dan minum maka semakin banyak pahala yang akan diperoleh.

Begitu juga perbuatan orang yang berpuasa, tetapi tetap bercakap bohong, membuka keaiban orang lain, mengumpat dan sebagainya. Tidak kurang juga yang terjebak dalam pembaziran ketika menyediakan juadah berbuka puasa. Semua perbuatan ini pastinya boleh merosakkan kualiti ibadah puasa. Setiap ibadah yang dilakukan perlu difahami kaedah pelaksanaannya dengan betul bagi memastikan ibadah itu diterima Allah SWT.

Orang yang beriman akan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang lagi untuk menunaikan ibadah puasa pada Ramadan kali ini.

Mudah-mudahan setiap amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan nanti akan diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

News: The Metro