Friday, December 04, 2020

Misteri ketukan pintu tengah malam di Sabak Bernam

Mhd Khairol Anuar menggigil ketika melihat tiada kelibat orang yang mengetuk pintu rumahnya lewat malam

Selangor – Bunyi ketukan pintu yang kuat waktu malam sehingga mengejutkan penghuni rumah di sekitar daerah Sabak Bernam menimbulkan misteri sejak kelmarin.
Misteri itu menimbulkan kegusaran penduduk setempat dan ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.
Difahamkan, gangguan itu berlaku di antara jam 11 malam sehingga 3 pagi melibatkan beberapa kampung termasuk Batu 37, Kampung Tengah dan Kampung Banting.
Menurut seorang penduduk Kampung Batu 37, Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini, 38, ketika berada di dapur rumahnya kira-kira 10.45 malam, dia terdengar bunyi ketukan yang datang dari pintu dapurnya.
“Bunyi ketukan itu amat kuat maca ada orang nak masuk rumah cepat. Bila saya intai ikut tingkap tak nampak sesiapa pun.
“Tak lama lepas tu ada bunyi yang sama dari bilik air rumah. Masalahnya bilik air tu dah lama tak guna. Lepas tu saya rasa bulu roma meremang,” katanya.
Manakala, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman, memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkaitan gangguan itu.
“Saya dimaklumkan ramai juga penduduk kampung ini yang mengalami gangguan itu dan saya sendiri pun kena ganggu ketika berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.
“Jadi saya harap penduduk berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan. Kami juga melakukan rondaan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini,” katanya.
Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya, selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.

ZA137 Malay News
National Desk