Orang ramai teruja cuba bot laju baru 

Butterworth : Seawal pagi lagi oang ramai mula memenuhi pekarangan jeti feri Pulau Pinang untuk untuk menggunakan perkhidmatan bot laju Pulau Pinang yang mula beroperasi hari ini.

Perkhidmatan bot laju yang bermula 6.30 pagi tadi itu bagi membawa penumpang pejalan kaki, menggantikan feri ikonik yang telah beroperasi kira-kira 126 tahun.

Seorang ahli peniagaan, Chai Shyan Jaw, 49, dari Seberang Perai merupakan antara orang pertama yang menunggu di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, seawal 5.45 pagi lagi.

Chai berkata beliau ingin mencuba bot baharu itu kerana dilaporkan lebih laju, selesa dan selamat untuk penumpang.

“Hari ini saya cuti jadi saya sampai di sini seawal jam 5.45 pagi lagi kerana tak nak lepaskan peluang untuk naik bot, ” katanya ketika temui media hari ini.

Manakala, Aisyah Saad, 32, dari Terengganu pula berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan bot laju berhawa dingin itu tetapi keadaan bot tertutup tidak membolehkannya menikmati pemandangan.

“Sudah tentunya dari aspek keselamatan dan keselesaan ia lebih baik, tetapi saya lebih sukakan feri lama kerana dapat bergambar sambil menikmati pemandangan Pulau Pinang,” katanya yang bercuti bersama suami dan dua anak.

Operasi bot laju bermula dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth pada 6.30 pagi dan berakhir di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada 11 malam setiap hari dengan kekerapan bot pada setiap 30 minit.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.

 

Malay News

National Desk