Peningkatan kualiti institusi pendidikan tinggi

Kuala Lumpur: Dalam Laporan Quacquarelli Symonds (QS) dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam QS World University Rankings: Asia 2021 pada 25 November lalu dan sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi dalam kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia.

Sebanyak 10 buah universiti tempatan yang terdiri dari tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta di negara ini berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

Menurut laporan itu Universiti Malaya (UM) mendahului lain-lain universiti di tempat kesembilan diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat 28, Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat ke 34, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ke 35, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat ke 39, Universiti Teknologi PETRONAS di tempat ke 70, Universiti Taylor’s  di tempat ke 89, Universiti UCSI di tempat ke 105, Universiti Utara Malaysia (UUM) di tempat ke 107 dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat ke 108.

Kejayaan itu merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di landasan yang betul, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurutnya, tahun ini merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UM buat kali pertama telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

Menurut Noraini, laporan tersebut turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM UTM, UUM dan UiTM serta tiga buah universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor’s dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 buah universiti terbaik Malaysia.

Sebanyak 35 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu dengan penambahan enam buah universiti baharu berbanding 29 buah universiti yang tersenarai pada tahun lepas.

Sebanyak 24 buah universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.

Malay News
Farah Fauzi