Persatuan pelancongan harap PKPB ditamatkan lebih awal

Kedah – Sektor perniagaan dan pelancongan di Langkawi semakin ‘nazak’ akibat wabak pendemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun ini.
Justeru, beberapa persatuan mewakili sektor perhotelan, perniagaan serta pemandu pelancong di Langkawi
memohon agar kerajaan menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di pulau peranginan itu lebih awal.
Antara persatuan terlibat ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Persatuan Perniagaan
Langkawi (Niagakawi), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah dan Perlis, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi serta syarikat pengendali feri Konsortium Ferry Line Ventures.
Persatuan ini mewakili lebih 8,000 pekerja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sektor pelancongan.
Timbalan Presiden Niagakawi, Datuk Alexander Isaac berkata, ketiadaan pelancong menyebabkan kesan teruk kepada perniagaan dan penduduk setempat.
“Kami amat terkesan kerana PKPB menyebabkan tiada kemasukan pelancong. Kami mohon agar kerajaan menamatkan PKPB di Langkawi lebih awal memandangkan pulau ini berada dalam zon hijau.
“Selain itu kami juga berharap kerajaan sediakan moratorium menyeluruh dan bantuan kewangan kepada peniaga di Langkawi agar dapat meneruskan perniagaan,” katanya dalam sidang media semalam.
Sementara itu, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Ku Chin Loon berkata, kira-kira 300 ahli persatuan resah berikutan pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 mengenai cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai bermula 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, kedatangan antara tarikan pelancong ke Langkawi ialah kerana ia bebas cukai termasuk jualan rokok yang menyumbangkan sehingga 40 peratus pendapatan ahlinya.
Katanya, jika keputusan itu dimuktamadkan sedikit sebanyak ahli mereka akan terjejas, namun mereka berharap kerajaan akan menilai kembali keputusan berkenaan.

 

ZA137 Malay News

National Desk