PM garis 5 keutamaan kerajaan sempena tahun baru

Putrajaya : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan lima keutamaan kerajaan bagi tahun 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19. Beliau berkata, pertamanya, kerajaan akan mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan juga akan mengutamakan pengukuhan ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Keutamaan ketiga diberikan kepada aspek kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.

“Seterusnya ialah menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat.

“Keutamaan kelima dan terakhir ialah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampai perutusan khas sempena tahun baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin mengajak semua masyarakat di negara ini untuk melangkah ke tahun baharu dengan satu semangat dan keazaman baharu.

“Saya ingin menyeru saudara dan saudari sekalian agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama membendung pandemik Covid-19,” katanya.

“Marilah kita sama-sama menggembeleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu untuk melangkah ke tahun baharu dengan semangat yang lebih kental,” katanya.

Sumber- K! ONLINE

Malay News

National Desk