‘Saya tiada kaitan aktiviti pelacuran’

Pelakon Tiz Zaqyah

Petaling Jaya: Pelakon Tiz Zaqyah mahu beberapa portal yang menyiarkan beri­ta me­ngaitkan dirinya dengan aktiviti pelacuran kelas atasan supaya menurunkan artikel berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.

Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak berkata, pengendali portal perlu jujur dengan penyiaran sebarang artikel yang boleh menjatuhkan maruah selebriti tempatan.

Menerusi sebuah perkongsian dalam Instagramnya kelmarin, Tiz Zaqyah telah memuat naik beberapa keping foto tangkap layar beberapa portal yang menggunakan tajuk keterlaluan mengaitkan dirinya dengan aktiviti pelacuran kelas atasan.

“Perhatian kepada semua media yang post (muat naik) artikel bertajuk macam ini. Saya mahu artikel ini dipadam. Sekurang-kurangnya jujur sikit.

“Aku tak tampil, aku sedang diitemu ramah oleh wartawan. Tiba-tiba seorang wartawan bertanya soalan, tidak ada ribut apa benda nama aku kena petik (merujuk pada namanya yang dipetik terlibat dalam kes pelacuran). “Tolong tukar tajuk utama atau buang terus artikel yang tidak penting dalam hidup aku. Tanpa ragu-ragu saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Perkongsian pelakon drama Nur Kasih itu turut mendapat perhatian dan sokongan daripada rakan-rakan artis yang juga berang apabila mendakwa banyak portal hiburan kerap menyiarkan berita tidak tepat tentang artis tempatan. “Perkara ini sangat tidak bertanggungjawab,” kata pe­nyanyi Yuna.

Sementara itu, pelakon Da­yana Roza turut memberi komen dengan mengatakan banyak portal, terutamanya penulisan blog sering memanipulasi kenyataan selain membuat tajuk merepek untuk jual cerita mereka. “Pada masa sama, semua netizen baca tajuk sahaja dan kumpul dosa sebab menghakimi kita (artis) berdasarkan tajuk merapu,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan terdapat selebriti wanita dan influencer ter­kenal menawarkan per­khidmatan menjual tubuh demi kesenangan hidup. Difahamkan, segelintir daripada mereka mengenakan bayaran perkhidmatan sehingga RM30,000 untuk satu malam.- Kosmo online

Malay News
Shobiz Desk