Sunday, November 29, 2020

SFMM35: Hael terkejut Hati dinobat lagu terbaik

Shah Alam: Lagu Hati hasil karya Hael Husaini dan Ezra Kong dipilih lagu terbaik pada malam pertama Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, semalam.

Hael berkata bahawa dia terkejut dan tidak menjangka lagu itu dipilih juri. “Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya malam ini. Jadi, terima kasih kepada juri yang mengangkat lagu ini sebagai Lagu Terbaik. Saya pun tak jangka dan terkejut. Alhamdulillah, inilah rezeki saya. Peminat janganlah marah. Ini adalah rezeki”, katanya.

Lagu nyanyian Hael Husaini itu mengetepikan lagu lain yang bersaing iaitu Canggung (nyanyian Wany Hasrita), Kelabu (nyanyian Yonnyboii & Azlan The Typewriter), Sebentar (nyanyian Dayang Nurfaizah) dan Adakah Engkau Menungguku (nyanyian Naim Daniel & Tuju).

Turut bersaing ialah lagu Gila (nyanyian Kaka Azraff, Noki & Loca B), I Want You To Love Me (nyanyian Alif Satar & The Locos), Takkan Merubah (nyanyian Sufian Suhaimi & Amira Othman), Khayal (nyanyian Stacy), Gundah (nyanyian Ernie Zakri) dan Curang (nyanyian Syamel).

Kelainan pada edisi ke-35 apabila SFMM berlangsung tiga malam berturut-turut berbanding tiga minggu berturut-turut sebelum ini. Seperti biasa, sebuah lagu dipilih sebagai karya terbaik pada setiap sesi. Namun, ia bukan jaminan bahawa karya itu bakal mara ke AJL35 secara automatik.

Pemenang Lagu Terbaik pada setiap episod akan membawa pulang baucer WOW Shop bernilai RM1,000. Semua lagu bertanding dinilai tujuh juri profesional diketuai komposer terkenal, Azmeer. SFMM35 menampilkan pengacara Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni.

Pertandingan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam itu diadakan dalam norma baharu dengan kehadiran penonton alam maya sahaja. Episod kedua dan ketiga bakal berlangsung hari ini dan esok pada jam 9 malam secara langsung di TV3.

Akmal Hakim
Glamour Desk