Sunday, January 24, 2021

Sisi gelap Silicon Valley yang jarang diketahui umum

Sebut sahaja Silicon Valley, ramai yang teruja untuk berada di sini. Ianya merupakan tempat yang paling maju ke hadapan berbanding mana-mana kawasan, disebabkan ianya tumpuan syarikat terkenal yang menerajui teknologi dunia.

Disebabkan Silicon Valley menjadi pusat teknologi di dunia, Negeri California telah berkembang menjadi negeri terkaya di Amerika Syarikat daripada segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). California menjana sehingga USD3.14 trilion setahun hasil daripada kekayaan yang diperolehi syarikat-syarikat teknologi yang berpangkalan di sini.

Walaubagaimanapun, ada beberapa sisi gelap yang jarang didedahkan kepada umum mengenai kehidupan di Silicon Valley ini.

1. Takut Akan Kegagalan
Kegagalan merupakan sesuatu yang sangat ditakuti bagi kebanyakan orang yang tinggal di sini. Walaupun kita tahu bahawa kegagalan merupakan sesuatu pengajaran yang berguna kepada kita pada masa hadapan, bagi mereka di Silicon Valley, ianya merupakan satu malapetaka terhadap masa depan mereka.

Mereka telah dilatih untuk tidak gagal di dalam sesuatu yang melibatkan urusan akademik mahu pun pekerjaan.

2. Persaingan Yang Sengit Di Usia Muda
Sejak dari usia kecil lagi, kebanyakan kanak-kanak telah diasuh oleh ibu bapa mereka untuk menjadi yang terbaik di dalam akademik dan juga ko-kurikulum.

Jika di bandingkan kanak-kanak di negeri lain, mereka yang tinggal di Silicon Valley adalah jauh lebih ke hadapan daripada persaingan sengit dan juga ‘paksaan’ dari ibu bapa mereka sendiri untuk berjaya.

2. Jadual Kerja Yang Sangat Padat
Jadual kerja yang sangat padat menghiasi setiap lapisan masyarakat bagi mereka berkerja di syarikat teknologi yang ada di Silicon Valley.

Kehidupan yang tidak seimbang di mana kerja merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan seharian.

Disebabkan persaingan yang sengit di kalangan syarikat yang ada, ia menyebabkan orang ramai berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk memberikan yang terbaik kepada majikan mereka.

3. Kos Sara Hidup Yang Terlalu Tinggi
Disebabkan Silicon Valley menjadi tempat tumpuan syarikat untuk membangunkan teknologi, maka kos kehidupan di sana sangat tinggi berbanding kawasan lain di Amerika Syarikat. Pendapatan tahunan sebanyak USD117,000 atau USD9,750 sebulan adalah golongan bawahan.

Nilai hartanah yang begitu tinggi juga telah menjadikan kehidupan di sana sangat sukar bagi yang berpendapatan rendah. San Francisco merupakan kawasan dengan kos sara hidup melebihi 58% berbanding dengan tempat lain di Amerika Syarikat.

5. Dominasi Masyarakat Kulit Putih
Dominasi kulit putih sangat ketara di kawasan tersebut sama ada daripada segi pangkat atau kedudukan di dalam syarikat. Banyak syarikat gergasi di Silicon Valley menempatkan lelaki berkulit putih sebagai eksekutif syarikat berbanding dengan bangsa lain.

1. Terlalu Banyak Sifu Palsu
Dengan lahirnya banyak syarikat start-up di sana, ia menjadikan ramai golongan yang mendakwa sebagai sifu untuk memberi nasihat kepada mana-mana syarikat start-up di sana. Walaupun perkara ini normal di kalangan masyarakat pada masa kini, bilangan sifu palsu di sana sangat ramai.

Kebanyakan mereka tidak mempunyai bisnes tetapi menasihati pengasas syarikat start-up cara-cara untuk memajukan bisnes. Jika syarikat tersebut berjaya, mereka akan mendapat komisyen yang tinggi dan jika syarikat tersebut gagal, mereka tidak mengalami apa-apa kerugian kerana tidak mengeluarkan modal selain daripada memberikan nasihat saja.

Sumber : Majalah Labur

Malay News
Technology Desk