Siti sedang mengandung anak kedua

Kuala Lumpur: Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan sedang mengandung empat bulan.

Siti mengumumkan berita gembira itu dalam sesi sidang media virtual TwoGether Launching Live Streaming pada hari ini.

“Alhamdulillah, pada hari ini, saya ingin berkongsi berita baik iaitu saya sedang melalui proses kehamilan. Saya tahu ramai yang sudah dapat mengagak. Terima kasih kerana mendoakan”, katanya dalam nada teruja.

Berkongsi fasa kehamilannya, Siti mengaku lebih selesa berehat di rumah untuk menjaga kesihatan diri dan kandungan berikutan pandemik COVID-19.

“Saya memang mendiamkan diri di rumah. Cuaca dan keadaan sekarang membuatkan saya selesa duduk di rumah. Doakan semoga saya diberi kesihatan dan dapat melahirkan zuriat yang sihat dan sempurna”, katanya.

“Lelaki atau perempuan, saya tidak kisah. Tetapi kalau dapat anak lelaki memang seronok kerana nanti anak kami sepasang”, katanya lagi.

Dalam pada itu, suami Siti iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bersyukur isterinya yang tersayang hamil.

“Saya bersyukur kepada Allah dan sangat gembira kerana dikurniakan seorang lagi cahaya mata. Kandungan Siti kini empat bulan”, katanya yang menemani Siti dalam sidang media virtual itu.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk