Tan Sri Muhyiddin pertahan jawatan presiden

Muhiuddin Yassin

Malay News: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di Petaling Jaya, hari ini.

Borang pencalonan Muhyiddin, yang juga Ketua BERSATU Bahagian Pagoh diserahkan kepada JPP oleh setiausaha politiknya, Datuk Mohd Nardin Awang pada jam 10 pagi.

JPP menetapkan tempoh pendaftaran pencalonan untuk pertandingan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) bermula jam 10 pagi hingga 3 petang ini bertempat di Tingkat 9, Ibu pejabat BERSATU, Menara Yayasan Selangor, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya.

JPP akan mengumumkan senarai nama calon yang layak bertanding pada petang ini bagi merebut jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Srikandi dan ARMADA jam 3 petang ini.

Jawatan MPT yang dipertandingkan membabitkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, pengerusi, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 20 ahli jawatankuasa (AJK).

Pemilihan peringkat MPT bakal menyaksikan pertandingan yang menarik susulan pertembungan dua kumpulan dalam BERSATU iaitu yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan satu lagi memihak kepada Muhyiddin.

Dr Mahathir dilaporkan akan turut mempertahankan jawatan Pengerusi BERSATU manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Bagi Jawatankuasa Srikandi dan ARMADA, ia membabitkan pendaftaran pencalonan untuk jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 15 AJK.

Pemilihan peringkat cawangan dan bahagian masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

BERSATU menetapkan 20 Jun depan untuk mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan serentak dengan pemilihan parti.
-Nasional Desk