Friday, December 04, 2020

‘The Pocket Rocketman’ kongsi pengalaman

Kuala Lumpur: Pelumba basikal trek sensasi negara, Azizulhasni Awang tidak kekok berkongsi pengalamannya bagaimana menakluki dunia apabila mengadakan sesi video secara dalam talian bersama barisan pelumba pembangunan Sepang Racing Team (SRT).

Azizul yang pernah bergelar juara dunia pada tahun 2017 kini berada di ranking nombor satu dunia dalam acara keirin berkata bahawa sesi itu lebih kepada berkongsi pengalamannya dalam dunia sukan dan sepanjang menjadi atlet negara.

“Saya berkongsi pengalaman bagaimana untuk berurusan dan menyesuaikan diri apabila tinggal di luar negara sebab kebanyakan pelumba kelak akan tinggal di Eropah untuk beberapa ketika”, katanya.

“Mereka banyak bertanyakan soalan. Saya percaya apa dikongsikan itu boleh diguna pakai dalam sukan permotoran mereka”, katanya lagi.

Pada sesi yang berlangsung semalam, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga menasihatkan pelumba negara untuk menjadikan disiplin sebagai kunci kejayaan dan terus komited dalam bidang yang mereka ceburi jika ingin melangkah lebih jauh.

Azizul juga berkongsi bahawa banyak perlu dikorbankan untuk berjaya selain ujian dan halangan yang akan sentiasa diuji.

“Saya juga sempat menggalakkan mereka menimba ilmu kerana itu dapat membantu mereka dalam karier selepas bersara”, katanya lagi.

Antara pelumba SRT yang terbabit adalah Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin, Danial Syahmi Ahmad Shahril, Sharul Ezwan Sharil, Syarifuddin Azman dan Faz Adhili.

Untuk rekod, Azizul kini kembali menguasai kedudukan ranking nombor satu dunia dalam acara keirin selepas mengumpul 2,195 mata.

Azizul menguasai kedudukan berdasarkan pencapaian merangkul gangsa di Kejohanan Berbasikal Dunia di Berlin, perak di Kejohanan Asia di Korea Selatan tahun lalu dan emas di Kejohanan Piala Dunia di New Zealand.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk