Tular belia Felda agih makanan kepada pengguna jalan alternatif

Pahang: Hujan lebat dan beberapa jalan utama telah ditenggelami air termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menyebabkan ribuan kenderaan terkandas dan terpaksa melalui jalan alternatif untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Dalam pada itu, antara perkongsian yang mengundang perhatian warganet adalah tindakan anak muda di sebuah Felda di Pahang yang menunggu di tepi jalan untuk mengagihkan makanan dan minuman kepada pengguna jalan raya yang melalui perkampungan mereka.

Malah, video kumpulan anak muda dari Felda Lakum, Lanchang ini turut tular sekaligus mengundang pujian warga maya.

Ketika dihubungi mStar, Mohd Rohaizanizam Mat Rodzi selaku Ketua Belia Felda Lakum berkata, idea untuk mengagihkan makanan itu timbul secara spontan selepas melihat banyak kenderaan memasuki perkampungan mereka.

“Ketika itu kebetulan anak-anak buah saya tengah beriadah main bola tampar, mereka nampak banyak sangat kereta luar masuk, mungkin nak mencari makanan sebab lama terkandas di jalan raya.

”Jadi kami pun bincang, dan akhirnya pakat-pakat kumpul duit seorang sedikit untuk beli roti dan air mineral. Sedikit sebanyak ia dapat mengalas perut mereka,” katanya yang berusia 37 tahun ini.

Tambah Mohd Rohaizanizam, agihan makanan tersebut dimulakan pada pukul 6 petang sehingga tengah malam, memandangkan pada waktu itu kenderaan masih bertali arus melalui jalan di persimpangan utama Felda Lakum.

Lebih 20 anak muda Felda Lakum bergilir-gilir bermula petang sehingga tengah malam untuk mengagihkan makanan dan minuman.

“Ketua Pemuda Felda Lakum, Mohd Mustakim Mustafa dan anak-anak buah saya gilir-gilir berada di sana untuk sampaikan bantuan. Nak kata berapa banyak pek roti dan air, memang kami tak kira. Pendek cerita, sampaikan air mineral dan roti di kedai-kedai runcit di Felda Lakum ni habis stok,” katanya.

Tidak menyangka video mereka tular di media sosial selepas dikongsikan beberapa pengguna jalan raya, dia berharap perkara berkenaan dapat dijadikan teladan dalam kalangan belia lain.

“Tak pernah bayangkan pun sampai jadi tular. Bantuan ini tak seberapa, tapi apa yang kami lakukan ini ikhlas daripada anak-anak Felda Lakum.

”Perkara seperti ini tak perlu nak tunggu sesiapa yang mulakan, tak perlu tunggu jadi orang ternama, tapi apa yang termampu, bantulah seikhlas hati. Rasa seperti satu kepuasan apabila dapat bantu serba sedikit,” katanya lagi.

Terdahulu, video yang dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter @AbenHazd yang memaparkan tindakan kumpulan anak muda Felda ini mengagihkan makanan di tepi jalan, menjadi tular sehingga meraih 23,000 retweet.

Menurut pelayar berkenaan, Hazidi Badarudin, video berkenaan dirakam oleh adiknya ketika keluarganya dalam perjalanan pulang ke ibu kota dari Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin.

”Saya tidak turut serta ikut mereka. Menurut ibu dan adik, ketika melalui jalan kampung, dari jauh mereka nampak begitu ramai orang di tepi jalan.

“Ketika sampai dekat, baru nampak rupa-rupanya orang kampung beri makanan. Spontan adik rakam, ayah pula pandu kereta, ” katanya.

 

Sumber : mStar

 

Malay News

Social Media Updates