Sunday, January 24, 2021

YDPA memandu sendiri redah banjir mencemar duli lawat mangsa banjir

Foto ihsan FB Istana Negara

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memandu sendiri meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di sekitar bandar Maran, Pahang hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.
Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke Maran, Tuanku berdua menyampaikan sumbangan kepada pemandu lori yang terkandas akibat banjir di Plaza Tol Karak dan LPT.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat, khususnya di kawasan rendah, pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Turut berangkat, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Video dan gambar pasangan diraja itu melawat mangsa banjir turut dikongsikan dalam Facebook Istana Negara.

Malay News
National Desk