bhnews@bh.com.my
PADANG BESAR: Polis merampas 1.4 tan daun ketum bernilai RM42,000 yang cuba diseludup ke Thailand di Kampung Bukit Chabang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, rampasan jam 2.30 petang itu susulan rondaan sepasukan anggota polis ‘Task Force’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sekitar kampung berkenaan.
“Anggota polis mendapat maklumat mengenai penyeludupan daun ketum di kawasan berkenaan sebelum menemui kawasan belukar di belakang Bukit Chabang yang dilitupi dengan kain kanvas putih.
“Curiga dengan penemuan berkenaan, anggota polis terus melakukan pemeriksaan di sekeliling kawasan itu namun tidak menemui sesiapa yang berada di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan selanjutnya menemukan 47 guni daun ketum seberat 1.4 tan di kawasan belukar itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya percaya bahawa lokasi berkenaan dijadikan ‘port’ transit pengedaran daun ketum yang akan diseludup ke Thailand menggunakan laluan tikus yang banyak terdapat di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.
“Kesemua rampasan dibawa ke IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1052.
© New Straits Times Press (M) Bhd




