
VANCOUVER: Seorang maut ditikam dan sekurang-kurangnya lima cedera dalam serangan di sebuah perpustakaan di Vancouver pada Sabtu, kata polis.
Polis Diraja Kanada (RCMP) menerusi Twitter berkata, seorang suspek ditahan dan tiada ancaman berterusan terhadap orang ramai.
Pihak berkuasa tidak mengeluarkan butiran berhubung motif serangan itu, yang berlaku pada tengah hari berhampiran dan di dalam perpustakaan itu.
“Seorang mangsa meninggal dunia,” kata Frank Chang daripada RCMP, sambil menambah pihak berkuasa masih menyiasat identiti mangsa.
CTV menyiarkan sebuah klip video menunjukkan penahanan suspek, yang dilihat menikam kakinya sendiri sebelum tumbang dan ditahan beberapa anggota polis.
Enam orang dikejarkan ke hospital, menurut jurucakap perkhidmatan kesihatan kecemasan, yang enggan memberitahu keadaan mangsa.
Saksi, Sheila Dyson memberitahu CTV, beliau nampak seorang lelaki menikam seorang wanita.
Katanya, kedua-duanya tidak kelihatan mempunyai sebarang hubungan, dengan penyerang melancarkan serangan secara rambang.
Andrew Cocking, yang tinggal 500m dari perpustakaan itu memberitahu AFP, serangan itu berlaku di kawasan yang secara amnya sangat sunyi.
“Saya nampak mangsa dirawat paramedik, mereka diberikan bantuan kecemasan bersebelahan sebuah kenderaan dan juga restoran, sebelum dibawa dengan pengusung.
“Ia agak menyedihkan, khasnya kerana salah seorang daripadanya ialah kanak-kanak,” katanya sambil menambah adiknya berada di perpustakaan hanya 30 minit sebelum serangan itu berlaku