10 acara sukan dipindahkan dari Songkhla ke Bangkok, Chonburi – MOM

10 acara sukan dipindahkan dari Songkhla ke Bangkok, Chonburi – MOM

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan venue pertandingan bagi 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan di Songkhla kini akan dilangsungkan di Bangkok dan Chonburi.

MOM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran venue itu dibuat berikutan banjir besar yang melanda selatan Thailand.

Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin dalam urusan penganjuran Sukan Sea.

Beliau berkata, MOM kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan terbabit bagi memuktamadkan urusan perjalanan dan penginapan kontinjen berdasarkan venue pertandingan yang dipinda.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin tentang penganjuran Sukan Sea ke-33, khususnya berkaitan 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla, namun kini dipindahkan ke Bangkok dan Chonburi.

“Kami akan memaklumkan semua pihak sebaik sahaja menerima perkembangan rasmi,” katanya.

Senarai penuh sukan yang dipindahkan dan venue baharu adalah seperti berikut:

Muay Thai – Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok

Bola Sepak Lelaki (Kelayakan) – Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok

Catur – Hotel The Bazaar, Bangkok

Kabadi – Pusat Sukan Chalermphrakiat, Universiti Teknologi Rattanakosin Rajamangala, Bangkok

Wushu – Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok

Pencak Silat – Arena IMPACT, Muang Thong Thani, Bangkok

Judo – Auditorium Universiti Teknologi Rajamangala Thanyaburi, Bangkok

Petanque – Universiti Rajabhat Valaya Alongkorn, Bangkok

Karate – Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok

Gusti – Pacific Park Sriracha, Chonburi

Biliard dan Snuker – Thunder Dome, Muang Thong Thani, Bangkok

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top