10 aktiviti meriahkan Program Sambutan Hari Kebangsaan Komuniti Madani Peringkat Dusun Tua, Parlimen Hulu Langat

10 aktiviti meriahkan Program Sambutan Hari Kebangsaan Komuniti Madani Peringkat Dusun Tua, Parlimen Hulu Langat

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Hulu Langat: Program Sambutan Hari Kebangsaan Komuniti Madani Peringkat Dusun Tua, Parlimen Hulu Langat hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti dengan penyertaan lebih 2,000 orang.

Pengarah Penerangan Selangor Cik Kazidi Mohd Zainuddin berkata, program seperti itu dilaksanakan bertujuan untuk ‘menggelorakan’ rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat atau komuniti itu sendiri.

Selain itu katanya, ia juga bagi menguarkan-uarkan mengenai bulan kebangsaan dan kibaran Jalur Gemilang di setiap daerah, di samping bagi memastikan perpaduan negara ini sentiasa terpelihara.

“Kira-kira 10 jenis aktiviti yang disediakan sempena program ini daripada pagi sehingga petang, hari ini.

“Penyertaan daripada komuniti di sini cukup ramai dan menggalakkan terutamanya daripada ibu bapa dan anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Program itui dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz dan turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan semasa program ini adalah seperti sukan rakyat, bola sepak, pertandingan mewarna, pertandingan memasak, Jualan Ehsan Rakyat, selain konvoi motosikal.

Mengulas lanjut, Kazidi berkata, program seumpama ini juga dilaksanakan di setiap daerah di Selangor.

“Dua minggu lalu, program ini dilaksanakan di Kuala Selangor dan hari ini di Dusun Tua, Hulu Langat. Ia kemudian akan diikuti di daerah lain.

“Cuma setiap daerah ini ada berbeza bentuk atau cara bagi melaksanakan program seperti ini. Ada daerah yang mengkhususkan kepada konvoi merdeka manakala ada daerah mengkhususkan kepada program setempat.

“Sebagai contoh di Mukim Hulu Langat ini pula berbeza. Yang istimewanya adalah ia menggabungkan kedua-duanya sekali iaitu program setempat dan konvoi,” katanya.

Sementara itu, Johan ketika ucapannya berkata, program seperti itu dapat meningkatkan dan mengeratkan lagi jalinan ukhwah membabitkan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.

Beliau juga menyeru penduduk dan komuniti di Dusun Tua agar memelihara hubungan baik dan memupuk keharmonian sesama mereka agar tidak berlakunya apa-apa perkara yang boleh merenggangkan hubungan antara satu sama lain.

“Jagalah hubungan dan pupuk hubungan baik ini khususnya dalam Selangor dan DUN kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top