Meskipun tahun 2026 belum ‘menutup tirainya’, dunia sudah dikejutkan dengan siri bencana dahsyat yang meragut ribuan nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di pelbagai negara. Daripada gempa bumi berkembar di Venezuela hingga banjir kilat luar biasa di sempadan Nepal-China, berikut 10 antara bencana paling dahsyat setakat Ogos 2026.
1. Gempa bumi Venezuela – Jun

1- FOTO: AFP
Dua gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5 pada 24 Jun meragut sekurang-kurangnya 6,509 nyawa. Puluhan ribu kediaman terjejas, manakala kerosakan fizikal langsung dianggarkan mencecah AS$19.6 bilion (RM78 bilion).
2. Gelombang haba Eropah – Jun hingga Ogos

2 -AFP
Empat gelombang haba berturut-turut dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 35,000 lebihan kematian di sebahagian Eropah, ketika suhu melepasi 40 darjah Celsius di beberapa negara. Angka tersebut merupakan lebihan kematian dan bukan semuanya disahkan secara individu berpunca daripada haba.
3. Banjir kilat Nepal-Tibet – Ogos

3-AFP
Bencana pada 26 Ogos meragut lebih 623 nyawa (setakat Sabtu), manakala hampir 2,400 lagi dilaporkan hilang. Jalan raya, jambatan, kampung dan projek hidroelektrik musnah akibat arus deras.
4. Banjir besar selatan Afrika – Januari

4. AP
Banjir meluas di beberapa negara termasuk Mozambique, Zimbabwe dan Afrika Selatan mengorbankan lebih 300 orang. Kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$1.1 bilion (RM4.02 bilion), selain kediaman dan kawasan pertanian ditenggelami air.
5. Taufan Maysak, China – Julai

5. Agensi
Taufan dan banjir di Guangxi mengorbankan 159 orang, manakala 10 lagi hilang. Lebih 1.6 juta penduduk terjejas dan lebih 320,000 dipindahkan selepas bandar ditenggelami air serta beberapa empangan pecah.
6. Gempa bumi Flores, Indonesia – Ogos

6-AFP
Gempa bermagnitud 7.7 meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa dan mencederakan lebih 1,600 orang. Lebih 73,000 rumah rosak dan kira-kira 180,000 penduduk terpaksa berpindah.
7. Banjir monsun Pakistan – Jun hingga Ogos

7-AFP
Hujan monsun, banjir kilat dan tanah runtuh meragut ratusan nyawa di seluruh Pakistan serta merosakkan kediaman dan infrastruktur. Operasi bantuan masih diteruskan ketika ancaman hujan lebat berlanjutan.
8. Banjir dan tanah runtuh Bangladesh – Julai

8-AFP
Sekurang-kurangnya 59 orang maut dan 1.28 juta penduduk terjejas. Lebih 74,000 rumah rosak atau musnah, selain bekalan air dan kemudahan sanitasi turut terjejas teruk.
9. Banjir Kenya – Mac

9-AFP
Banjir besar akibat hujan berpanjangan mengorbankan sekurang-kurangnya 108 orang serta menghanyutkan kenderaan dan merosakkan infrastruktur. Ribuan keluarga turut terpaksa meninggalkan kediaman.
10. Taufan Gezani, Madagascar – Februari

10. Agensi
Taufan dengan angin melebihi 250 kilometer sejam meragut 62 nyawa dan menjejaskan lebih 430,000 penduduk. Lebih 25,000 kediaman musnah sepenuhnya manakala puluhan ribu lagi rosak. – Agensi