rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kira 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh seorang wanita selepas membuat pajakan jam tangan mewah membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM3 juta.
Mangsa yang terpedaya dengan profilnya sebagai ‘pakar jam tangan mewah’ menyedari ditipu selepas wanita itu dikatakan menghilangkan diri dan menutup premis perniagaannya di Petaling Jaya, Selangor, tahun lalu.
Ahli perniagaan mahu dikenali sebagai Rozai, 50, berkata, dia dan isteri mengenali wanita terbabit kira-kira tiga tahun lalu kerana mereka menjalankan perniagaan di bangunan sama.
“Pada 2023, saya memajak dua jam tangan mewah berharga ratusan ringgit untuk modal perniagaan dan ketika itu memang tiada masalah, malah saya dapat semula jam tangan selepas tempoh pajak.
“Pada pertengahan tahun lalu, saya memajak lagi dua jam tangan mewah bernilai RM186,000 dan menerima bayaran sebanyak RM55,000.
“Namun pada Disember lalu, saya terkejut apabila melihat kedainya secara tiba-tiba tutup dan semua barangan dalam kedai juga ‘licin’. Saya cuba menghubunginya beberapa kali gagal dan ada cuba mencarinya tapi tidak berhasil,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, Timbalan Ketua Perkhidmatan Awam MCA, Tan Kai Yong dan Ketua Biro Undang-Undang MCA Kuala Lumpur, Victor Teoh.
Mengulas lanjut, Rozai berkata, dia yang menanggung kerugian kira-kira RM110,000 selepas kedua jam tangannya dilarikan wanita itu.
Katanya, dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Mac lalu, untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa mahu dikenali Liang, 42, mendakwa diperdaya wanita itu dengan menyerahkan wang kira-kira RM2 juta bagi membeli beberapa jam tangan mewah milik pelanggannya.
Menurut ahli perniagaan terbabit, dia mengenali wanita itu sebagai rakan perniagaan kira-kira dua tahun lalu sebelum wanita itu meminta membeli enam jam tangan mewah bernilai RM2 juta pada Disember tahun lalu.
“Wanita itu hanya serahkan lima jam tangan mewah dan dia beri alasan pelanggan terlupa bawa satu lagi jam dengan berjanji akan serahkan kemudian. Saya percaya lalu buat bayaran penuh RM2 juta dan dia juga berjanji akan membantu menjual semula jam berkenaan.
“Kemudian pada 6 Januari lalu, wanita itu sekali lagi meminta saya membeli tiga jam tangan mewah bernilai RM252,800 dan sekali lagi beri jaminan akan membantu menjualnya semula.
“Pada 10 Januari lalu, saya sekali lagi membeli jam tangan mewah bernilai RM400,000 daripada wanita itu selain turut menyerahkan satu lagi jam tangan untuk dijual kerana dimaklumkan terdapat pembeli yang berminat,” katanya.
Malangnya, Liang berkata, dia hanya menerima sebahagian bayaran jualan jam tangan berkenaan sebelum wanita itu menghilangkan diri pada penghujung Januari lalu.
Selepas pelbagai usaha mengesan wanita itu tidak berhasil, Liang tampil membuat laporan polis pada Februari lalu kerana mendakwa wanita itu melarikan enam jam mewah miliknya serta wang tunai berjumlah RM510,000 daripada hasil jualan tiga jam.
Sementara itu, Michael berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kes penipuan dilakukan wanita itu yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Beliau turut menyeru orang ramai yang turut menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd


