10 jalan ditutup sempena Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR)

10 jalan ditutup sempena Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR)

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 jalan di ibu kota ditutup bagi memberi laluan kepada penganjuran acara larian ‘Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR) – Road to Visit Malaysia 2026’ sempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, acara berkenaan akan bermula di hadapan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) Jalan Ampang, di sini pada 3 petang.

Menurutnya, ia dijangka akan membabitkan lebih 15,000 peserta dengan dua kategori Utama iaitu lima kilometer Malaysia Speed Run dan lima kilometer Fun Run.

“Susulan itu, penutupan dan lencongan jalan raya akan bermula pada 2.30 petang. Pembukaan jalan akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya pada jam 8 malam.

“Laluan berkenaan membabitkan Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay. Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang.

“Selain itu, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang (dari Jalan Tun Razak menghala ke KLCC/dari Lembaga Getah Malaysia menghala ke Jalan Tun Razak),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan atau kawasan yang akan menyebabkan gangguan kepada lalu lintas.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL di talian 03-2071 9999.

“Selain itu, boleh juga melayari Facebook : JSPT KL di https://www.facebook.com/JsptKL/ atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top