am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kira-kira 10 jam tiada air, benar-benar mengganggu persiapan Aidilfitri penduduk daerah ini.
Nurulhuda Jailani, 32, yang tinggal di Taman Johor Jaya sangat berharap gangguan bekalan itu dapat diatasi secepat mungkin.
“Saya tidak dapat masak bagi berbuka puasa kerana tiada air dan terpaksa beli dari luar.
“Kami bimbang jika keadaan berterusan, persiapan untuk sambutan Aidilfitri akan terjejas.
“Selain kawasan ini, ahli keluarga saya yang tinggal di Majidee turut terkesan sejak awal pagi lagi,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Ranhill SAJ menjelaskan lima kawasan di sekitar bandar raya ini mengalami gangguan bekalan air tidak terancang akibat paip pecah.
Jurucakapnya berkata, antara kawasan terjejas termasuk keseluruhan Taman Johor Jaya, Taman Ehsan Jaya, Desa Jaya, keseluruhan kawasan industri Mount Austin, Tebrau 1 hingga 4 dan keseluruhan Taman Delima 1.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan paip bersaiz 1200mm sedang dijalankan.
“Kejadian berlaku di lebuh raya Pasir Gudang berhampiran Taman Daya yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang ini.
“Pelanggan disaran menggunakan air secara berhemah dan pelanggan yang masih mempunyai akses bekalan dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan dikongsi di Facebook.
© New Straits Times Press (M) Bhd




