10 lagi rakyat Malaysia dihantar ke Penjara Narathiwat

10 lagi rakyat Malaysia dihantar ke Penjara Narathiwat

am@hmetro.com.my

Narathiwat: Sepuluh lagi rakyat Malaysia, kebanyakannya dari Kelantan, telah dihantar ke Penjara Wilayah Narathiwat sejak awal tahun ini atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah.

Pengarah penjara Narathiwat, Superintendan Surin Chantep berkata, kes terbaharu itu menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara berkenaan seramai 43 orang.

Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada 40 lelaki dan tiga wanita.

“Daripada 43 rakyat Malaysia itu, 28 orang termasuk tiga wanita dipenjarakan atas kesalahan penyalahgunaan dadah manakala selebihnya ditahan atas kesalahan jenayah lain,” katanya ketika ditemui.

Surin berkata, sebahagian daripada mereka telah menerima hukuman penjara manakala yang lain masih menunggu perbicaraan di mahkamah Narathiwat.

Beliau berkata, selain Kelantan, tahanan lain turut berasal dari negeri-negeri lain di Malaysia seperti Selangor dan Terengganu.

Katanya, 43 rakyat Malaysia itu adalah antara lebih 3,000 banduan daripada pelbagai negara yang kini ditahan di penjara berkenaan.

Mengenai banduan Islam, Surin berkata mereka dibenarkan menunaikan kewajipan agama sepanjang Ramadan, termasuk berpuasa dan menunaikan solat Terawih.

“Mereka diberi layanan sama rata tanpa mengira agama. Banduan Islam disediakan makanan halal untuk berbuka puasa dan dibenarkan menunaikan solat,” katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga, termasuk dari Malaysia, dibenarkan melawat banduan pada hari lawatan yang ditetapkan.

“Seperti yang diamalkan pada tahun-tahun sebelum ini, pihak penjara juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa khas untuk banduan rakyat Malaysia, di mana ahli keluarga mereka dari Malaysia dibenarkan menyertainya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top