10 lelaki menyamar polis, larikan motosikal ditahan

10 lelaki menyamar polis, larikan motosikal ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Seramai 10 lelaki ditahan selepas disyaki terbabit kes menyamar anggota polis dan menyamun penunggang motosikal serta melarikan kenderaan mangsa di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun mendakwa disamun empat anggota polis berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh pada Julai.

“Kumpulan ini menyasarkan penunggang motosikal di lebuh raya dan jalan biasa terutama pada lewat malam dan awal pagi.

“Mereka akan menahan dan merampas kunci kenderaan mangsa lalu memperkenalkan diri sebagai anggota polis yang kononnya mahu membuat pemeriksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Petaling Jaya membuat tangkapan ke atas 10 individu terbabit dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini pada 5 pagi, 20 Oktober lalu.

Menurutnya, polis menemukan dan merampas tujuh motosikal, sebuah enjin serta rangka motosikal.

Sasikala berkata, semakan rekod mendapati tujuh daripada suspek memiliki keseluruhan memiliki 26 rekod jenayah dan 10 rekod kesalahan dadah.

“Hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah. Kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 39 tahun diserahkan kepada pihak IPD Sungai Buloh bagi siasatan lanjut.

“Permohonan reman ke atas kesemua suspek terbabit akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 397/170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Sasikala menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ditahan oleh individu mencurigakan.

Katanya, orang awam disaran meminta kad kuasa polis sekiranya ditahan atau terus ke balai berhampiran jika perlu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top