JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam kejadian berbalas tembakan antara polis dan pemberontak di wilayah Papua yang bergolak, dalam tindakan balas susulan kematian ketua perisik Indonesia.
Menurut polis, tembak-menembak yang berlangsung selama beberapa jam di daerah Puncak semalam, berakhir dengan seramai sembilan puak gerila termasuk seorang anggota polis maut, sementara dua lagi polis cedera.
“Kami menyerang wilayah itu selepas mengesahkan keberadaan mereka,” kata jurucakap polis Papua, Ahmad Musthofa Kamal kepada AFP hari ini.
Polis percaya berpuluh-puluh orang puak pemberontak bertanggungjawab atas pembunuhan Jeneral I Gusti Putu Danny Karya Nugraha Ahad lalu, yang mengetuai agensi perisikan Papua.
Bagaimanapun, jurucakap kumpulan pemberontak, Sebby Sambom, menafikan laporan bahawa puaknya dibunuh sebagai ‘pembohongan besar’ dan ‘propaganda’.
AFP tidak dapat mengesahkan sendiri dakwaan dibuat pasukan keselamatan.
Percanggahan laporan sering kali berlaku di Papua, sebuah pulau yang kaya dengan sumber tetapi miskin, yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea di sebelah utara Australia.
Pemberontakan tahap rendah yang berlaku di negara berkenaan didakwa bertujuan melepaskan diri dari ‘jajahan’ Indonesia selama beberapa dekad.
Ketegangan yang meningkat tercetus selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo, minggu ini memerintahkan pasukan keselamatan untuk ‘memburu’ pemberontak susulan kematian jeneral itu.
Puak pemisah Papua mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
Selama bertahun-tahun, pasukan keselamatan Indonesia dikejutkan dengan tuduhan penyalahgunaan hak yang meluas terhadap penduduk Melanesia iaitu etnik di Papua, termasuk pembunuhan di luar bidang kehakiman membabitkan aktivis dan penunjuk perasaan aman sebagai usaha mereka menghancurkan kumpulan pemberontak.
Beberapa minggu lalu, pasukan keselamatan meningkatkan operasi ketenteraan di daerah Puncak selepas kumpulan pemberontak bertindak membunuh tentera dan guru selain membakar beberapa sekolah dan helikopter.
Sebagai tanah bekas jajahan Belanda, Papua mengisytiharkan merdeka pada 1961 tetapi dua tahun selepas itu, negara jiran iaitu Indonesia menguasai wilayah itu dengan janji akan mengadakan referendum kemerdekaan.
Keputusan selepas itu untuk menjadi sebahagian dari Indonesia secara meluas dianggap palsu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




