
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam pertempuran bersenjata antara polis dan pemberontak di wilayah Papua yang bergolak, kata pihak berkuasa, dalam serangan balas berikutan kematian seorang ketua perisikan.
Insiden berbalas tembak yang berlarutan beberapa jam semalam di daerah terpencil Puncak, menyaksikan sembilan gerila dan seorang polis mati, sementara dua lagi pegawai cedera, kata polis.
“Kami menyerang wilayah itu selepas mengesahkan kehadiran mereka,” kata jurucakap polis Papua Ahmad Musthofa Kamal kepada AFP hari ini.
Polis berkata mereka percaya puluhan pemberontak itu bertanggungjawab ke atas pembunuhan Jeneral I Gusti Putu Danny Karya Nugraha pada Ahad, yang mengetuai agensi perisikan Papua.
Tetapi jurucakap kumpulan pemberontak Sebby Sambom menolak laporan itu menyifatkannya sebagai ‘pembohongan besar’ dan ‘propaganda’.
AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan oleh pasukan keselamatan itu.
Laporan yang bercanggah sering terjadi di Papua, pulau yang kaya sumber aslinya namun miskin.
Pulau yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea di utara Australia itu menjadi markas pemberontak yang berjuang untuk membebaskan diri dari Indonesia sejak beberapa dekad lalu.
Ketegangan memuncak selepas Presiden Indonesia Joko Widodo minggu ini mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu pemberontak berikutan kematian jeneral tersebut.
Pemisah Papua mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.
Sejak sekian lama, pasukan keselamatan Indonesia sering terpalit dakwaan membabitkan pelanggaran hak terhadap penduduk Melanesia etnik Papua termasuk pembunuhan aktivis penunjuk perasaan di luar undang-undang dalam usaha untuk menghancurkan kumpulan pemberontak.
Beberapa minggu lalu, pasukan keselamatan meningkatkan operasi ketenteraan di daerah Puncak setelah kumpulan pemberontak membunuh tentera dan guru, membakar beberapa sekolah dan helikopter.
Sebagai bekas jajahan Belanda, Papua mengisytiharkan kemerdekaannya pada 1961, tetapi negara jirannya Indonesia menguasai wilayah itu dua tahun kemudian dengan janji untuk mengadakan referendum kemerdekaan.
Keputusan undian yang memilih untuk bersama Indonesia rata-rata dianggap sebagai satu penipuan.