SUKAN Olimpik Paris 2024 sudah melabuhkan tirainya apabila upacara penutup berlangsung di Stade de France, Paris, pada 8 malam Ahad lalu.
Temasya kali ini bermula dengan acara pembukaan yang kontroversi, namun turut menarik perhatian dengan momen-momen lucu, pelik dan unik. Berikut adalah 10 momen Paris 2024 yang tular di media sosial.
Bob Si Penangkap Topi
‘Bob the Cap Catcher’ (‘Bob si Penangkap Topi’) adalah individu yang mendapatkan semula topi renang yang hilang, milik perenang Amerika Syarikat, Emma Weber, semasa saringan 100 meter (m) kuak dada wanita. Memakai seluar renang berwarna-warni, Bob menyelam ke dasar kolam untuk mengambil topi itu.
Identiti sebenarnya masih tidak diketahui, namun NBC menggelarnya ‘Bob the Cap Catcher’ kerana ‘campur tangannya’ yang tepat pada masanya.
Atlet Mesir hamil tujuh bulan
Nada Hafez menyertai acara lawan pedang individu wanita, memenangi perlawanan pertamanya menentang Elizabeth Tartakovsky dari AS sebelum disingkirkan oleh Jeon Hayoung dari Korea Selatan.
Nada – selepas persembahannya – mendedahkan menerusi di Instagram bahawa dia hamil. Dia bangga dengan pencapaiannya walaupun menghadapi cabaran fizikal dan emosi. Dia menyebut anak dalam kandungannya sebagai ‘atlet kecil Olimpik’, lapor Majalah People.
Swafoto dua negara Korea
Atlet dari Korea Utara dan Korea Selatan menjadi tajuk berita utama selepas berswafoto bersama di podium selepas acara pingpong beregu campuran.
Beregu Korea Utara, Ri Jong Sik dan Kim Kum Yong meraih perak, manakala beregu Korea Selatan, Lim Jong-hoon dan Shin Yu-bin meraih gangsa. Momen perpaduan yang jarang berlaku antara atlet dari kedua-dua negara ini, yang secara teknikalnya masih berperang, disambut secara meluas sebagai simbol semangat kesukanan dan keamanan.
Gaya model perenang lelaki China
Perenang lelaki China menarik perhatian dengan gaya ‘swag’ semasa pengenalan peserta pada acara renang, lapor Newsweek.
Momen itu dirakam dalam beberapa video yang disiarkan di TikTok, dengan salah satunya dimuat naik di akaun @ijustlovelipbalm yang mendapat lebih 20 juta tontonan sejak ia dikongsi pada 29 Julai.
Mesej pada klip tular itu mengatakan “China keluar untuk acara Olimpik mereka dengan berkelakuan seperti peragaan (label fesyen mewah) Balenciaga.”
Aksi selamba penembak Turkiye
Bertanding dalam acara 10m pistol udara, Yusuf Dikec, memperoleh pingat perak, menjadikannya pingat Olimpik pertama Turkiye dalam acara menembak.
Apa yang menarik perhatian internet ialah sikap kasualnya. Dia hanya memakai kemeja-T dan menggunakan cermin mata yang kelihatan biasa. Ketika menembak, sebelah tangannya diletakkan dalam poket. Penampilannya jauh berbeza dengan peserta negara lain dalam acara sama.
Lelaki Muffin Coklat
‘Chocolate Muffin Man’ atau ‘Lelaki Muffin Coklat’ adalah perenang Norway, Henrik Christiansen. Dia tular di TikTok kerana video lucu mengenai mufin coklat yang terdapat di kafeteria Perkampungan Olimpik.
Menurut NBC, videonya, termasuk yang mana dia mengisytiharkan dirinya sebagai “Lelaki Muffin” dan mempamerkan simpanan muffinnya, mendapat berjuta-juta tontonan di TikTok.
Atlet wanita berkromosom lelaki
Petinju Algeria, Imane Khelif dan petinju Taiwan, Lin Yu-tin dibenarkan bertanding di temasya kali ini. Ia walaupun penyertaan dua atlet ini dibatalkan pada Kejohanan Dunia Wanita 2023 kerana Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) mendakwa mereka gagal dalam ujian kelayakan jantina.
Raih pingat, bebas latihan ketenteraan
Gandingan Korea Selatan, Shin Yu-bin dan Lim Jong-hoon meraih pingat gangsa dalam acara pingpong beregu campuran, sekali gus menamatkan ‘kemarau’ pingat pingpong Olimpik selama 12 tahun untuk negara itu.
Kemenangan ke atas Hong Kong itu memberi kelebihan peribadi untuk Lim yang berusia 27 tahun, yang kini akan dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan mandatori yang dijadualkan bermula bulan depan, lapor Korean Herald.
Gimnas tampan berkaca mata
Stephen Nedoroscik memainkan peranan penting dalam membantu pasukan gimnastik lelaki AS memperoleh pingat gangsa.
Persembahannya diraikan bukan sahaja kerana kecemerlangan teknikalnya dalam acara kekuda berpelana tetapi digelar ‘Clark Kent’ kerana dia seorang yang memakai kaca mata.
Dia dilihat berkaca mata di luar gelanggang dan menangggalkannya ketika bertanding dalam acara berkenaan.
Gagal kerana alat sulit
Atlet lompat bergalah Perancis, Anthony Ammirati tidak bernasib baik selepas berdepan insiden memalukan yang menyebabkan dia gagal dalam perebutan pingat.
Ammirati berjaya melepasi ketinggian 5.40 m dan 5.60 m dengan kedua-duanya pada percubaan pertama. Namun, dia gagal melepasi 5.70 m selepas percubaan ketiga selepas alat sulitnya terkena palang sekali gus menduduki tangga ke-12 dan tidak dapat ke final.
Insiden itu mengecewakan Ammirati tetapi mencuit hati netizen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




