10 Pati ditahan selepas 3 hari dalam bot

10 Pati ditahan selepas 3 hari dalam bot

Klang: Sepuluh pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mendarat di pesisir pantai Kampung Tok Muda, Kapar, di sini sempat bersembunyi empat jam, sebelum kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa.

Mereka sebelum itu dikatakan menempuh perjalanan selama tiga hari dengan menaiki bot nelayan untuk menceroboh perairan negara.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pasukannya menahan kesemua Pati itu pada jam 8.30 pagi semalam.

“Siasatan mendapati, mereka bertolak dari Tanjung Balai pada 2 pagi, 8 Mac dengan menaiki bot nelayan dan tiba di sini pada jam 4 pagi semalam.

“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Pati yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia berumur di antara 22 tahun hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Kapar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan melakukan ujian saringan Covid-19.

“Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Scroll to Top