10 pegawai penguat kuasa antara 11 individu terima rasuah RTK ditahan SPRM

10 pegawai penguat kuasa antara 11 individu terima rasuah RTK ditahan SPRM

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu membabitkan 10 pegawai agensi penguat kuasa serta seorang pesara agensi kerana disyaki terbabit menerima rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut sumber, semua suspek membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Periskan SPRM, hari ini.

“Semua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,”katanya.

Sumber berkata, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok pagi bagi permohonan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top