AIR bukan sahaja penting untuk kehidupan malah melambangkan kesucian dan kebahagiaan bagi segelintir komuniti. Di seluruh dunia, masyarakat meraikannya melalui pelbagai festival yang meriah dan penuh warna-warni.
Perayaan sedemikian bukan sekadar hiburan, tetapi turut mempamerkan keistimewaan tersendiri, mencerminkan budaya, kepercayaan yang diwarisi turun-temurun dan turut membawa makna simbolik yang mendalam berkaitan spiritual. Berikut ialah 10 keunikan festival ‘main air’ di pelbagai negara.
———
1. Songkran (Thailand)
Ia merupakan sambutan Tahun Baharu tradisional di negara Gajah Putih itu yang terkenal dengan aktiviti ‘perang air’ di jalanan pada pertengahan April setiap tahun. Air melambangkan pembersihan dosa dan nasib buruk dari tahun sebelumnya. Selain itu, orang ramai juga menyiram air ke atas patung Buddha dan orang tua sebagai tanda hormat dan memohon keberkatan.
2. Dai Water Splashing (China)

Disambut oleh kaum Dai di Yunnan. Festival ini berlangsung selama tiga hari sebagai sebahagian aktiviti Tahun Baharu dengan menyiram air antara satu sama lain sebagai simbol membawa tuah dan membersihkan unsur negatif. Terdapat juga upacara memandikan patung Buddha.
3. Chaul Chnam Thmey (Kemboja)

Ia sempena Tahun Baharu tradisional dan festival itu berlangsung selama tiga hari. Hari terakhir melibatkan upacara menyiram air wangi ke atas patung Buddha, sami dan orang tua. Ia dipercayai dapat membersihkan dosa dan membawa nasib baik serta kebahagiaan.
4. Aadi Perukku (India)
Disambut oleh masyarakat Tamil untuk menghormati musim monsun dan Sungai Kaveri. Upacara termasuk meletakkan persembahan seperti bunga dan makanan ke dalam sungai serta melakukan ritual keagamaan (puja) bagi memohon rezeki dan kesejahteraan.
5. Underwater Music (Amerika Syarikat)

Festival unik ini diadakan di dasar laut di Florida Keys sejak 1984. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan terumbu karang. Peserta menyelam sambil mendengar muzik melalui pembesar suara bawah air sambil memakai kostum hidupan laut dan ikan duyung.
6. Vardavar (Armenia)
Ia berasal dari zaman pagan (sebelum agama moden berkembang) dan kini menjadi perayaan Kristian. Orang ramai akan menyimbah air antara satu sama lain di jalanan. Ia melambangkan kegembiraan, kesucian dan peluang untuk bersosial tanpa batasan.
7. Wattah Wattah (Filipina)

Disambut pada 24 Jun setiap tahun di San Juan dan merupakan aktiviti keagamaan dengan menyiram air dipanggil ‘basaan’ sebagai simbol berkat dan pembaptisan. Ia juga disertai dengan perarakan dan tarian jalanan.
8. Pi Mai (Laos)
Ia merupakan Tahun Baharu Laos yang juga dikenali sebagai festival air. Orang ramai bermain air di jalanan dan menyiram air ke atas patung Buddha. Air tersebut kemudian dianggap suci dan digunakan untuk memberkati keluarga serta rakan.
9. Bom Chaul Chnam (Kemboja)

Sebahagian daripada perayaan Tahun Baharu Khmer. Aktiviti termasuk menyiram air kepada orang tua dan patung Buddha sebagai simbol membersihkan dosa dan menerima restu. Festival ini juga meriah dengan perlumbaan bot dan pelbagai acara jalanan.
10. Naval Battle of Vallecas (Sepanyol)

Festival ini bermula pada 1981 ketika golongan muda menggunakan pili bomba untuk mengatasi cuaca panas terik di Madrid. Kini, ia menjadi acara tahunan di mana orang ramai saling menyiram air seperti ‘pertempuran laut’. Ia juga sering dikaitkan dengan mesej sosial dan perpaduan komuniti.



